Malaysia Dateline

Cadangan hapuskan hukuman mati, apa sikap kita

Kerajaan PH telah mencadangkan untuk memansuhkan hukuman mati untuk semua jenayah. Cadangan tersebut telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. Katanya terdapat banyak kesalahan (jenayah) yang dikenakan hukuman mati seperti pembunuhan dan mengedar dadah dan kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan kesalahan tertentu. Sebagai ganti kepada hukuman mati, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dikenakan.

Katanya lagi terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Kini terdapat 1,267 banduan yang berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Pada tahun 2017, negara Guinea dan Mongolia telah memansuhkan hukuman mati bagi semua jenis jenayah. Amnesty International melaporkan bahawa kini terdapat 106 negara yang telah memansuhkan hukuman mati. Mereka juga melaporkan bahawa kini terdapat 23 negara yang melaksanakan hukuman mati iaitu China, Iran, Arab Saudi, Iraq, Pakistan, Mesir, Amerika Syarikat, Somalia, Bangladesh, Malaysia, Afghanistan, Belarus, Indonesia, Singapura, Jepun, Nigeria, Palestin, Sudan, Botswana, Taiwan, Korea Utara, Korea Selatan dan Vietnam.

Mereka yang berkempen untuk hukuman mati ini dihapuskan telah berhujah bahawa jenayah tidak berkurangan dengan pengenaan hukuman mati ini. Hukuman ini juga tidak dapat diubah jika berlaku kesilapan dalam mensabitkan pesalah. Selain itu, hukuman ini berbentuk diskriminasi kerana terdapat pesalah yang tidak mendapat peguam disebabkan kemiskinan dan kurangnya pengetahuan undang-undang. Kadang-kala ada negara yang menggunakan hukuman mati ini sebagai tindakan populis politik semata-mata.

Mereka juga mengatakan bahawa hukuman mati adalah salah satu bentuk penyeksaan dan hukuman yang menjatuhkan kemuliaan insan. Terdapat juga instrumen antarabangsa yang menggesa negara di dunia untuk menghapuskan hukuman mati seperti The Second Optional Protocol to the International Covenant on Civil and Political Rights, Protocol No. 6 European Convention on Human Rights dan Protocol No. 13 European Convention on Human Rights.

Manakala bagi yang menyokong hukuman mati dikekalkan adalah kerana untuk memastikan keadilan kepada mangsa tetap diberikan terutamanya bagi kesalahan berat seperti membunuh. Mereka juga mengatakan bahawa instrumen antarabangsa ini masih membenarkan hukuman mati dikenakan bagi kesalahan yang benar-benar serius seperti hukuman membunuh ini.

Baru-baru ini, Ram Karpal Singh, Ketua Biro Undang-Undang DAP juga mengatakan bahawa beliau mengubah pendiriannya daripada menyokong penghapusan penuh hukuman kepada tidak menyokong disebabkan jenayah pembunuhan yang dibuat oleh seorang penagih dadah ke atas kanak-kanak berusia sembilan bulan. Kanak-kanak itu diletakkan di bawah jagaan isteri suspek itu dan terdapat kesan kecederaan seksual ke atas kanak-kanak itu.

Terdapat juga argumen bahawa penghapusan hukuman mati ini akan menyentuh hukuman hudud dan qisas dan ini adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama. Falsafah hukuman mati dalam kesalahan qisas juga adalah unik yang mana pesalah boleh diampunkan oleh keluarga mangsa atau dibayar dengan diyat.

Bagi konteks Malaysia ini sewajarnya penghapusan hukuman mati ini dibuat secara berperingkat iaitu ianya dihapuskan bagi kesalahan tidak serius seperti kesalahan mengedar dadah, menculik, memerangi Yang DiPertuan Agong dan memiliki senjatapi

Justeru, kerajaan sewajarnya mengambil pandangan awam berkaitan hal ini sebelum menghapuskan hukuman mati sepenuhnya. Namun, ini tidak menghalang kerajaan untuk melaksanakan moratorium terhadap hukuman mati ini buat sementara waktu.