Cadangan hukuman rotan,penjara seumur hidup bagi pesalah rasuah

Cadangan hukuman rotan,penjara seumur hidup bagi pesalah rasuah

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya pesalah rasuah dikenakan hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup.

Barisan panel yang hadir pada forum malam tadi (dari kiri)  Ezaruddin Abd. Rahman, Datuk Zakaria Jaafar, Datuk Akhbar Satar dan Datuk Ruhanie Ahmad.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya pesalah rasuah dikenakan hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup

Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuah Perkasa Jais Abdul Karim berkata hukuman berat itu, yang dikenakan bagi kesalahan mengedar dadah, perlu dilaksanakan bagi membendung masalah rasuah di negara ini.

“Justeru itu, kita meminta supaya hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup perlu diperhalusi supaya setimpal dengan kesalahan itu,” katanya pada Forum Rakyat Bangkit Menentang Rasuah anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, malam ini.

Barisan panel pada malam itu adalah Naib Presiden Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad, Presiden Yayasan Rasuah Malaysia Datuk Seri Zakaria Jaafar, Presdien Transparancy International Datuk Akhbar Satar dan moderator Ezaruddin Abd. Rahman.

Jais berkata kerajaan juga perlu memperkenal akta baharu yang dikenali sebagai ‘Akta Sabotaj Ekonomi’ bagi membolehkan pesalah rasuah ditahan tanpa jaminan dalam tempoh masa tidak terhad.

Akta itu yang membawa kesan sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperlukan supaya proses siasatan boleh dijalankan dengan lengkap.

“Tahanan tanpa jaminan dan had ini perlu supaya tidak memberikan peluang kepada perasuah menghapuskan bahan bukti atau mempengaruhi saksi yang terlibat,” katanya.

Jais berkata rakyat Malaysia di semua peringkat juga mesti berani dan proaktif untuk tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya laporan juga boleh disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antirasuah supaya mereka boleh membantu menyalurkan laporan kepada pihak berkuasa.

 

TAGS