Malaysia Dateline

Cadangan IPCMC ditolak kerana ia berkesan, kata tokoh wartawan

Tokoh wartawan negara menyifatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2005 ditolak kerana ia diakui berkesan.

Datuk A Kadir Jasin (gambar) berkata demikian menerusi facebooknya.

Kenyataan ringkas itu dipercayai mengulas keputusan kerajaan yang menukar cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kepada Suruhanjaya Pengaduan Polis Bebas (IPCC) sahaja.

IPCC akan terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri sebagaimana pasukan polis juga yang tidak akan memberikan apa-apa pendekatan baru dalam menyelesaikan isu yang berlaku dalam pasukan polis.

Menurut Malaysiakini, suatu rang undang-undang yang “sedikit berbeza” daripada RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kemungkinan akan berusaha untuk menubuhkan badan yang hanya menyiasat aduan.

RUU baru itu, yang dilapor namanya sebagai Suruhanjaya Pengaduan Polis Bebas (IPCC), tidak akan memiliki kuasa untuk menjatuhkan hukuman.

IPCMC pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005, ketika pentadbiran perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia kemudian, diredakan menjadi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) selepas bantahan keras oleh pasukan polis di bawah ketua polis negara pada waktu itu, Tan Sri Musa Hassan.

IPCMC, seperti yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan tahun lalu, akan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk mengambil tindakan, termasuk amaran, pemotongan gaji atau pemecatan terhadap pegawai yang didapati melakukan kesalahan.

Walau bagaimanapun, ahli parlimen PN mendakwa bahawa IPCMC memangsakan polis secara tidak adil.

Ketika kerajaan PH, kakitangan EAIC telah diberikan pelbagai latihan bagi membolehkan mereka mahir sepenuhnya sebelum badan itu  ditukar kepada IPCMC.

Kerajaan PH berusaha meneruskan IPCMC walaupun Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tidak berapa bersetuju dengannya.

Ekoran itu, kerajaan PN dan kini Umno mengambil sikap untuk tidak melaksanakan IPCMC tetapi akan menjadi IPCC sahaja yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Ini berikutan penentangan dari sebahagian anggota polis sendiri dan kerajaan bimbang mereka terjejas dalam pilihan raya nanti.