Cadangan Johor tubuhkan jawatankuasa pemandu ekonomi meragukan

Cadangan Johor tubuhkan jawatankuasa pemandu ekonomi meragukan

Dzulkefly Ahmad

Kerajaan negeri Johor seharusnya memperkasakan peranan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) berbanding menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor Dzulkefly Ahmad berkata, UPENJ berperanan membentuk garis kasar hala tuju ekonomi Johor manakala dari segi pengisian dan pelaksanaannya boleh melibatkan sektor awam dan swasta berbanding Jawatankuasa Pemandu yang akan dianggotai oleh majoriti sektor swasta.

“Kebimbangan Amanah Johor adalah dengan pembentukan Jawatakuasa Pemandu Ekonomi Johor nanti akan menjadikan asas perancangan ekonomi Johor akan beralih daripada berlandaskan kemajuan sosio-ekonomi kepada pro-pasaran dan kapitalistik.

“Setakat ini kejayaan peranan UPENJ boleh diukur dengan beberapa indikator ekonomi negeri Johor seperti kadar pertumbuhan ekonomi 4.5%-5.5% iaitu lebih tinggi dari nasional iaitu 4%-4.5%, rizab tunai Johor RM3.43 bilion, hasil tahunan pendapatan negeri yang melebihi RM1.3 bilion dan bajet lebihan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kertas kerja bagi penubuhan jawatankuasa itu sedang disiapkan dan pihaknya sedang mengenal pasti pakar ekonomi yang dapat membantu memberikan idea mahupun pandangan dalam jawatankuasa itu.

Sekurang-kurangnya 12 orang pakar ekonomi dari dalam dan luar negara akan dikenal pasti bagi membentuk ‘think tank group’ ini.

Tindakan ini bagi membolehkan Johor untuk membuat persiapan bagi menghadapi cabaran ekonomi mendatang.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Johor harus mengambil iktibar daripada tindakan Kerajaan Persekutuan pada September 2009 menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang secara tidak langsung mengambil alih tugas Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

EPU telah menjadikan Malaysia mempunyai sistem penentuan dasar, program dan perlaksanaan ekonomi yang terbaik dikalangan negara membangun.

Sebaliknya kata beliau, selepas hampir lapan tahun Pemandu yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditubuhkan, banyak penanda aras ekonomi negara jatuh dengan teruk seperti pendapatan negara kasar (GNI) bukan sahaja tidak meningkat bahkan merosot.

“Bahkan perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukan GNI perkapita jatuh 15% daripada AS$10,345 pada 2013 kepada AS$8,821 pada 2016.

“Ini jauh daripada unjuran AS$15,000 yang Pemandu cadangkan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

“Di samping itu nilai Ringgit juga jatuh 42% berbanding Dolar Amerika dari tahun 2013 hingga 2016 bahkan kos sara hidup rakyat terus meningkat khususnya 3 tahun kebelakangan ini.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara juga menguncup dari 6% (2014), 5% (2015) kepada 4.2% (2016),” katanya.

Justeru, beliau berkata, melihat kepada pengalaman Pemandu yang dibentuk di peringkat Kerajaan Persekutuan, belum ada jaminan cadangan pembentukan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Johor akan menjanjikan hasil seperti yang diharapkan.

“Jika di peringkat Kerajaan Pusat ada EPU, di peringkat negeri Johor telah sedi ada UUPENJ yang antara peranan utamanya adalah membentuk dan menyelia Pelan Induk Ekonomi Negeri Johor,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)