Malaysia Dateline

Cadangan Kabinet dua lapis Pas tidak berperlembagaan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menyifatkan cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mewujudkan sistem Kabinet dua lapis sekiranya Pas berjaya mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti sebagai tidak berperlembagaan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Abdul Hadi itu.

“Takkanlah hendak mewujudkan satu golongan ‘tauke’ satu lagi jadi ‘kuli’, begitu juga dalam Kabinet takkan satu Kabinet orang Islam, Kabinet lain untuk orang bukan Islam kerana ini tidak berperlembagaan.

“Sekiranya tidak boleh mencerminkan keMalaysiaan susahlah, kerana sejarah telah membuktikan, parti-parti yang menang (pada PRU) biasanya yang mendapat sokongan semua golongan rakyat di Malaysia,” kata beliau dalam satu sidang media hari ini, mengikut laporan dalam Facebooknya.

Kata beliau lagi, parti yang menolak sokongan orang bukan Islam dan bukan Melayu takkan mendapat tempat di Malaysia.

Semalam, Abdul Hadi mencadangkan mewujudkan Kabinet dua lapis iaitu satu Kabinet untuk orang Islam menentukan dasar nasional dan satu Kabinet orang bukan Islam melaksanakan dasar.

Dalam sidang media sama, Guan Eng turut mengulas pertanyaan media, sama ada Pakatan Harapan akan tergugat pada PRU14 nanti apabila Pas meletakkan lebih ramai calon untuk bertanding.

“Pastinya ia satu cabaran, (namun) ia bergantung kepada rakyat (untuk menentukan) kerana rakyat juga ‘lihat’ Pas berkerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“(Dan) tentunya ia akan menggembirakan MCA, Gerakan dan Umno kerana ia bukan sahaja beri kelebihan kepada Umno tetapi juga MCA dan Gerakan,” kata beliau menurut laporan tesebut.