Cadangan kawal media atas talian cemari semangat merdeka rakyat

Cadangan kawal media atas talian cemari semangat merdeka rakyat

Hasrat kerajaan untuk mengawal kebebasan media atas talian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjadikan sambutan hari kemerdekaan tahun bagai tiada erti.

Ahli parlimen Klang, Charles Santiago berkata, adalah sukar untuk mempercayai jaminan menteri berkenaan bahawa tidak akan berlaku pencabulan terhadap kebebasan media jika cadangan itu dikuatkuasakan.

“Salleh patut tahu bahawa tidak ada sesiapapun yang akan termakan dengan jaminannya itu. Dan pihak kerajaan perlu diberitahu berulang kali bahawa tidak ada ertinya kebebasan jika kebebasan media itu sendiri tidak ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak baru-baru ini mengumumkan cadangan kerajaan mewajibkan portal berita atas talian yang mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi untuk berdaftar dengan kementerian.

{loadposition myposition}

Menurut Salleh, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengendali media atas talian sebelum mengambil sebarang keputusan bagi menyakinkan orang awam bahawa tidak berlaku sebarang tindakan pencabulan terhadap kebebasan media.

Mengulas lanjut, Charles berkata sambutan 31 Ogos akan lebih bermakna jika semua rakyat Malaysia dapat merai dan merasai hak kebebasan yang dijamin setiap individu dalam sebuah masyarakat yang demokratik.

“Mengimbau semula pengalaman lepas, saya hanya nampak ruang demokrasi di negara ini semakin hari semakin menghilang, di mana pemerintah elit berterusan menentukan bagaimana kita harus berfikir, hidup dan berkasih sayang.

“Pengalaman itu memberikan saya perasaan seolah-olah dijajah semula oleh pihak penjajah yang menindas,” ujar beliau.