Malaysia Dateline

Cadangan Ketua Pemuda Bersatu bakal musnahkan ekonomi, kata Pemuda PKR

Cadangan Ketua Pemuda Bersatu agar kerajaan mencetak lebih banyak wang kertas akan memusnahkan ekonomi, kata Pemuda PKR.

Bagi Dzulhilmi Zainol, Naib Ketua AMK Selangor, cadangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.

“Secara logiknya, jika keseluruhan rakyat mempunyai sejumlah wang yang agak besar, maka secara automatik tingkat harga bagi barangan dan perkhidmatan akan meningkat secara mendadak akibat keupayaan untuk mendapatkannya semaksima yang mungkin.

“Malah kita boleh lihat bahawa antara kesan yang lain ialah menurunkan nilai mata wang, di mana pada hakikatnya nilai matawang negara pada ketika ini sudah pun berada pada tahap yang kritikal,” kata beliau.

Baru-baru ini, tersebar buah fikiran daripada timbalan menteri itu supaya Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Namun begitu, katanya, mencetak wang bukan jalan penyelesaian yang terbaik untuk memulihkan situasi ekonomi negara yang sedia ada.

Katanya, cadangan perlaksanaan ini bukan lah merupakan pandangan yang baru diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

Ini kerana, Venezuela dan Zimbabwe sudah pun melaksanakan dasar kewangan helikopter sebegini dan kesannya mereka mengalami masalah inflasi yang melampau atau “ hyper inflation “.

“Kita lihat bagaimana keadaan ketika itu jelas kucar-kacir kerana tingkat harga barangan di Zimbabwe meningkat sebanyak 231 Juta peratus.

“Ini bermakna harga satu aiskrim yang pada asalnya bernilai 1 dolar Zimbabwe telah meningkat kepada 231 juta Zimbabwe hasil daripada perlaksanaan dasar tersebut,” kata beliau.

Katanya, negara seperti Amerika Syarikat yang jelas mempunyai keupayaan bagi melaksanakan dasar kewangan ini pun tidak melakukannya.

Sedangkan, katanya, mata wang dolar yang dimiliki oleh mereka digunakan untuk perdagangan antarabangsa, dan sekalipun ianya berlaku, permintaannya masih tinggi.

“Alternatif sebenar yang harus difikirkan oleh pihak kerajaan ialah bagaimana kita mahu merangsang pertumbuhan ekonomi dengan lebih agresif dan memastikan dasar yang diperkenalkan serta peruntukan yang diberikan benar-benar dimanfaatkan dalam bentuk program yang produktif,” kata beliau.