Malaysia Dateline

Cadangan laksana PPSMI perlu dirujuk pada mesyuarat Jemaah Menteri

Cadangan untuk melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris harus dirujuk kepada mesyuarat Jemaah Menteri.

Demikian respon yang diberikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka PKR Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Georgetown malam tadi.

Jelas Anwar lagi, adalah lebih baik bagi jemaah menteri untuk membincangkan mengenai perkara tersebut.

Antara pimpinan PH yang menggaul ‘Yee Sang’ semasa majlis perasmian Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR di Georgetown.

Dalam majlis sambutan tersebut Anwar turut menegaskan bahawa pemuafakatan antara kaum merupakan perkara utama yang harus diberi keutamaan.

“Politik perkauman harus ditolak dan rakyat disemua peringkat sepatutnya sudah lebih matang mengenai perkara tersebut.

“Sekiranya menggunakan politik perkauman maka nasib rakyat bawahan tidak akan berubah.

“Apabila rakyat yang berada dibawah bergaduh, yang diatas akan terus kaya dan berebut kuasa, ” tegasnya lagi.

Ekoran itu tambahnya, rakyat perlu lebih matang dan dewasa dalam membuat penilaian mengenai perkara tersebut.

Dalam majlis yang sama Anwar bersama-sama dengan barisan pimpinan komponen Pakatan Harapan telah menyempurnakan kaligrafi dalam tulisan Jawi, Tamil, Cina dan Rumi yang berlatarbelakang ‘Muafakat Bersama’ serta menggaul ‘Yee Sang’

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahaya, Naib Presiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunos serta pimpinan komponen PH.