Cadangan larangan remaja keluar malam bukti komitmen kerajaan kepada generasi muda

Cadangan larangan remaja keluar malam bukti komitmen kerajaan kepada generasi muda

Cadangan kabinet berkaitan larangan berada diluar kawasan bagi tempoh tertentu untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan 18 tahun adalah suatu tindakan yang amat wajar, kata  Ketua Angkatan Wanita (AWAN) Pulau Pinang, Aida Yusof Rawa.

Beliau berkata, cadangan kabinet tersebut membuktikan kerajaan sedia ada amat mementingkan keselamatan dan masa depan generasi muda dalam negara ini.

“Dengan adanya larangan sedemikian ia dapat mengekang kewujudan pelbagai perkara buruk termasuk vandalism dan sebagainya.

“Selain itu gejala buruk seperti lumba haram, merempit dan juga basikal lajak dapat dibendung secara perlahan-lahan.

“Ia bukan saja dapat mengelakkan remaja tersebut dari terlibat dengan aktiviti yang merugikan mereka, sebaliknya menjaga keselamatan mereka, ” ujarnya ketika ditemul selepas program penerangan bersama Setiausaha Agung AMANAH di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada Ahad.

Malah kata Aida lagi, beberapa kaedah perundangan termasuklah kompaun dan denda harus diperhalusi.

“Dengan adanya denda yang dikenakan keatas waris atau ibu bapa, maka ia dapat memberi satu pengajaran kepada masyarakat.

“Generasi muda dan remaja merupakan aset negara yang amat penting dalam jangkamasa panjang.

“Sehubungan itu keselamatan dan masa depan mereka harus menjadi percaturan yang amat berharga dan bernilai, ” tegasnya.

Justeru itu saran Aida lagi, pemantauan mesti dilaksanakan dengan serius demi masa depan generasi muda tersebut.

“Terlalu banyak kes gejala sosial yang sukar dibendung tatkala ini.

“Adalah diharapkan dengan adanya penggubalan undang-undang dan larangan sedemikian, ia akan memberi manfaat yang amat besar kepada negara.

“Maka itu, usaha kabinet khususnya Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat amat dialu-alukan dan perlu didokong oleh semua golongan masyarakat, ” tambah beliau.

Baru-baru ini cadangan kabinet bagi kanak-kanak dibawah umur 18 tahun (13-16) tidak dibenarkan berada diluar dari kawasan rumah melebihi jam 10 malam.

Manakala yang berumur 12 tahun dan kebawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi jam 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan, bagaimanapun ia masih diperingkat cadangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.