Cadangan lima (5) cukai baharu Kerajaan PH

Cadangan lima (5) cukai baharu Kerajaan PH

Perdana Menteri mengumumkan akan memperkenalkan cukai baru bagi menampung keperluan bayaran hutang negara yang dilaporkan sangat tinggi berbanding hasil semasa negara. Tulisan ini ingin mencadangkan 5 jenis cukai yang dirasakan kurang impak negatif kepada rakyat marhaen khususnya B40.

Secara dasarnya menurut teknik biasa pengukuran tahap kestabilan dasar kewangan dan risiko hutang sesebuah negara, nisbah dan angka yang akan dinilai adalah ‘Debt to GDP Ratio’. Bagi peringkat individu ia adalah ibarat mengukur hutang tahunan dibahagikan dengan hasil produk yang dihasilkan pada tahun tersebut, sebagai contoh hutang RM 3000 namun pendapatan adalah RM 8000, maka 3000/8000 x 100 adalah 37.5 %, ertinya tanggungan hutang berbanding pendapatan adalah 37.5 %.

Bagi sesebuah negara sedikit berbeza tentunya konsep dan falsafah hutangnya, ia tidak serupa secara penuh dengan hutang indivdiu namun contoh di atas sekadar memberi mudah faham. Dalam konteks negara, sekiranya Hutang Persekutuan [Federal Debt] adalah LEBIH BESAR dari Keluaran Kasar Dalam Negeri [KDNK] atau Gross Domestic products (GDP), ertinya proses pertumbuhan ekonomi dalam negara tersebut dikira perlahan, sekiranya nisbah mencecah 64 % dan ke atas pertumbuhan akan bertambah perlahan sebanyak 2 % bagi setiap tahun, demikian menurut sebahagian pengkaji. Namun begitu kertas IMF bertajuk ‘Debt and Growth: Is There a Magic Threshold?’ [tahun 2014] menafikan wujud korelasi mudah yang sebegitu malah menegaskan ketinggian hutang sesebuah negara masih tidak semestinya bakal membantut proses pertumbuhan tetapi perlu melihat kepada perancangan jitu oleh sesebuah kerajaan untuk mendapat pendapatan jangka panjang.

Menurut kajian Prof. Anis Chowdary, dalam kertasnya bertajuk “An Optimal Public Debt-to-GDP Ratio?”; kadar nisbah yang sihat bagi sebuah negara sedang membangun adalah 40 %, manakala bagi negara maju adalah 60 %. Kerajaan Malaysia meletakkan sasaran persendirian agar nisbah ini tidak melebihi 55 %.

Negaraku Malaydia dan Hutang

Hutang Malaysia dilaporkan oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah RM1 trillion, manakala GDP Malaysia adalah RM1.353 trillion (Jabatan Statistik Malaysia 2017). Sebelum pilihan raya Umum ke-14, dicatatkan kadar nisbah Hutang Ke Atas GDP bagi negara Malaysia adalah 50.8 % sahaja, itu adalah jika diambil kira Federal Government debt sahaja sebanyak RM 686.8 billion sahaja. Namun jika dicampur dengan dua jenis tanggungan [liability] lagi yang turut dimasukkan sekali oleh Menteri Kewangan Malaysia iaitu RM201.4 bil (PPP Lease payments) dan RM199.1 (Jaminan Kerajaan), jika kiraan yang sama digunakan iaitu Debt to GDP Ratio bagi Malaysia akan meningkat jadi 80.3 %.

Biasanya pada kadar nisbah hutang sebegini, sesebuah negara termasuk Malaysia tidak lagi layak mendapat penarafan risiko pelaburan jangka panjang dan pendek serta kemampuan bayaran faedah kepada pelabur, pada gred A- stable [iaitu oleh Fitch pada 28 Mac 2018 – sebelum PRU 14] dan bakal diturunkan penarafan kepada kelas BBB. Namun begitu, pihak penarafan antarabangsa seperti Fitch [mengekalkan A- stable pada 14 Ogsos 2018 ], Standard & Poors [ A- 2 pada Jun 2018] dan Moodys [A-3 stable] kelihatan masih mengekalkan penarafan Malaysia tanpa sebarang penurunan. Ia serba sedikit menunjukkan Debt to GDP Ratio yang dipakai oleh mereka tidak memasukkan dua jenis liabiliti ke dalam kiraan hutang.

Kadar nisbah tersebut masih bergantung kepada aspek berikut:-

1. Kiranya hutang yang lumayan itu majoritinya adalah berstatus hutang dalam negara atau luar negara. Sekiranya majoriti adalah berstatus hutang dalam negara [Domestic Debt], risiko kebimbangan ketidakmampuan kerajaan membayar hutang dan faedahnya menurut perspektif pelabur dan masyarakat antarabangsa akan lebih rendah berbanding jika majoriti hutang tersebut adalah kepada pihak luar negara.

Sebagai contoh kadar nisbah hutang kepada GDP bagi Jepun pada tahun 2017 adalah 228 % namun mereka tidak di dalam bahaya kerana majoriti hutang kerajaannya dipegang oleh rakyatnya sendiri iaitu insititusi kewangan khususnya.

2. Walaupun hutang banyak tapi pertumbuhan juga tinggi, risiko ketidakmampuan melunas hutang dan faedah pinjaaman turut menjadi kecil, sebagai contoh Jerman yang mempunyai hutang sebanyak USD2.7 bilion, tetapi disebabkan GDP mereka adalah USD 3.8 bil, maka kadar nisbah negara mereka adalah 72 %, berbanding Greece sebanyak 182 % tambahan lagi hutang Greece adalah kebanyakannya dari luar negara.

Apabila nisbah hutang berbanding GDP sesebuah negara meningkat, itu boleh jadi suatu petanda krisis ekonomi mungkin berlaku sekiranya keluaran dalam negara tidak dipacu segera atau hutang tidak ditangani. Pada waktu ini, inilah kadar nisbah yang paling ‘viable’ dirujuk oleh pihak pelabur dalam dan luar negara setiap kali ingin membuat keputusan penting pelaburan ke sesebuah negara.

Maka atas dasar tersebut kerajaan Malaysia punyai dua pilihan besar, iaitu :-

1. Meningkat segera produktiviti atau hasil dalam negara bagi meningkatkan KDNK dan seterusnya membuktikan Malaysia mampu mengurus hutang yang besar dan tinggi tersebut pada jangka pendek, sederhana dan panjang, atau

2. Menambah pendapatan kerajaan dari sumber baru dengan segera bagi menurunkan hutang terpenting kritikal sama ada luar atau dalam negara. Disebabkan itu, Perdana Menteri menyatakan hasrat mengkaji pengenaan cukai baru untuk menambah pendapatan, begitulah logika yang diberikan.

Justeru itu, serentak dengan hasrat kerajaan itu, suatu usaha serius menambah pengeluaran mesti dipercepatkan oleh kerajaan.

Cukai Baharu Yang Kurang Impak Negatif Kepada Rakyat

Bagi membicarakan jenis cukai baru yang lebih logik dalam konteks keadaaan semasa negara serta mungkin kurang sedikit kesan negatif kepada rakyat teramai, saya ingin mencadangkan kerajaan menilai cukai-cukai berikut :-

1] Cukai Foreign Transaction Tax (FTT) yang dikhaskan kepada ‘currency transaction’ atau juga dikenali sebagai Tobin Tax [untuk spot forex] adalah cukai bagi segala jenis perdagangan matawang yang dibuat dan juga pertukaran matawang tempatan dengan asing. Cukai ini berperanan mengurangkan spekulasi matawang yang kesan buruknya menjadi penyebab kepada ketidakstabilan nilai ringgit. Justeru, ia boleh dianggap sebagai suatu penyeimbang bagi spekulasi matawang di samping menstabilkan nilai ringgit dan sekaligus menambah pendapatan baru buat kerajaan. Teknik ini pernah digunakan oleh lebih 40 negara pada tahun 2011 yang mengutip jumlah cukai sekitar USD 38 billion. Kerajaan Itali pada tahun 2013 sewaktu mereka dibebani hutang besar dan hasil yang perlahan. Kadar cukainya boleh dimulakan dengan kadar sederhana iaitu 0.5 % agar tidak terlalu menganggu urusniaga import eksport yang bukan bersifat spekulasi, atau boleh juga dikenakan hanya kepada pertukaran jangka pendek dan bukannya panjang yang didasari jual beli komoditi sebenar.

2] Menaikkan kadar tertinggi cukai pendapatan 26 % kepada 30 % atau lebih lagi bagi kumpulan berpendapatan sangat kaya iaitu pendapatan melebihi RM 1 juta setahun. Ketika ini, kerajaan menghadkan kadar 26 % kepada semua individu berpendapatan RM 100,000 ke atas, sedangkan agak ramai yang berpendapatan lebih RM 1 juta ke atas yang sepatutnya boleh dicukai lebih tinggi tanpa mereka rasa terbeban disebabkan kukuhnya kedudukan kewangan peribadi mereka serta kemampuan mereka untuk ‘leverage’ di atas kemudahan pinjaman dan pembiayaan perbankan, permohonan mereka pasti sangat mudah diluluskan, sekiranya mereka ingin membuat belian aset mahal tidak akan terencat walau dicukai sehingga 30 %. Malah menurut statistiknya, kumpulan tertinggi 10 % pendapatan inilah yang menguasai lebih separuh kekayaan negara, sampai masa untuk mereka berkorban lebih dari yang lain.

3] Menaikkan kadar ‘Sin Tax’ – disebabkan Malaysia negara berbilang agama dan bangsa, maka pelbagai jenis perniagaan dibenarkan termasuk yang memudaratkan kesihatan secara langsung seperti arak, rokok, shisha dan lain-lain. Banyak juga yang merosakkan moral seperti judi. Maka jika kerajaan inginkan tumpuan kesihatan rakyat dan persekitaran disamping menambah pendapatan negara, semua cukai-cukai ini boleh dinaikkan agar dapat diimbangi serta diturunkan jumlah ketagihan penggunanya, di samping meningkatkan hasil kerajaan.

4] Cukai ke atas Cryptomarket Trading Platform Exchanger dan juga ke atas Initial Coin Offering yang dikawalselia oleh samada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia – Kerajaan juga boleh mengambil langkah beberapa negara luar seperti Malta, Filipina, Jepun dan lain-lain yang menyambut industri crypto ke negara namun secara berperingkat dan terkawal. Regulasi dan lesen boleh ditawarkan ke atas pedagang aset crypto yang ingin menawarkan coin mereka di dalam negara melalui pendaftaran dan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti bagi mempastikan mereka bukan ICO scam. Pada masa yang sama, mereka dikehendaki membayar yuran lesen pendaftaran dan tahunan di samping cukai transaksi crypto. Begitu juga ia boleh menarik pelabur asing yang ingin memasuki Malaysia bagi membuka crypto exchange seperti Bitfinex dan lain-lain lagi. Kerajaan boleh mengizinkan dengan kadar lesen tahunan yang baik untuk hasil negara di samping yuran capital gain tax ke atas keuntungan perdagangan crypto yang tidak semestinya di kalangan rakyat Malaysia malah pengguna dari seluruh negara.

5] Capital Gain Tax [CGT] – Iaitu merujuk kepada cukai atas keuntungan dari pedagangan saham dan sekuriti. Namun begitu disebabkan volume dan liquidity pasaran saham di Malaysia tidak begitu tinggi, adalah lebih sesuai sekiranya cukai seperti ini hanya dikenakan kepada keuntungan besar atau transaksi besar keuntungan atau mempunyai benchmark tinggi sebagai contoh hanya keuntungan melebihi RM 500,000 pada waktu di penjualan sahaja yang dikenakan cukai pada kadar yang munasabah. Kajian menunjukkan sekiranya CGT ini dikenakan 70 % dari CGT akan hanya terkena kepada individu dan institusi yang meraih pendapatan tertinggi 1 % dalam sesebuah negara. Tentunya, wujud kesan negatif kepada CGT ini namun sebagaimana biasa, apa yang baru dilaksana pasti akan wujud bantahan dan kesan negatifnya, namun maju ke hadapan bakal menghasilkan situasi lebih stabil.

Apapun cadangan di atas, tentunya bagi sebuah kerajaan yang mantap dan bijak, kebijakan mereka memanfaat sumber asli dalam negara serta tenaga rakyat sepatutnya mampu mencipta pendapatan yang cukup serta perbelanjaan yang berhemah. Justeru itu, kejayaan tertinggi sesebuah kepimpinan kerajaan adalah apabila cukai dikurangkan dan bukan ditambah. Sehubungan itu, wajar untuk ditegaskan :

1. Semua cukai baru ini wajar dikaji semula atau dimansuhkan kembali sejurus pendapatan negara dan hutang sudah berada pada tahap sihat dan berdaya saing.

2. Semua hasil cukai sangat sangat perlu dipastikan agar kurang ketirisannya agar hasil cukai baru dan lama tidak bocor ke tempat yang salah lagi serta mengakibat derita ke atas rakyat berpanjangan manakala hasil wang awam bocor pula ke poket orang baru secara salah. wallahu’alam.

* Dr. Zaharuddin Abd Rahman adalah Presiden MURSHID.

CATEGORIES