Cadangan mansuh hukuman mati tidak dibuat tergesa-gesa, kata MCADP

Cadangan mansuh hukuman mati tidak dibuat tergesa-gesa, kata MCADP

Malaysian Coalition Against the Death Penalti (MCADP) hari ini menyangkal kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor bahawa keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati telah dibuat secara tergesa-gesa.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MCADP berkata isu itu telah dibangkitkan seawal tahun 2010 apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz secara terbuka menyatakan bahawa hukuman mati tidak sesuai untuk Malaysia.

Ia berkata sejak itu, kajian telah dijalankan untuk mengkaji keberkesanan undang-undang berkaitan hukuman mati, termasuk kajian yang ditauliahkan oleh kerajaan dan dijalankan oleh International Centre for Law and Legal Studies di Malaysia bahawa pada 2016 mengesyorkan kepada Kabinet supaya dimansuhkan sepenuhnyua hukuman mati di Malaysia.

“Sebagai bekas ketua polis negara untuk menyatakan bahawa tidak ada kajian sewajarnya dijalankan atau keputusan Kabinet untuk memansuhkan sepenuhnya hukuman mati bagi semua kesalahan jenayah adalah pra-matang sudah tentu gagal mengambil kira fakta-fakta sedia ada berkaitan persoalan pemansuhan hukuman mati di Malaysia, “katanya.

Pada Rabu, bekas ketua polis negara itu menyatakan bantahannya terhadap cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Abdul Rahim juga mencadangkan supaya satu pungutan suara diadakan di Dewan Rakyat untuk memutuskan perkara itu.

MCADP juga memuji kerajaan kerana menunjukkan kepimpinan dalam memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati.

Kenyataan itu menyatakan bahawa tiada bukti yang kredibel menunjukkan bahawa pemansuhan hukuman mati dalam bidang kuasa tertentu telah menyebabkan atau akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah dalam bidang kuasa itu.

“Ketidakberkesanan hukuman mati sebagai “deterrent” mulanya diiktiraf dalam pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dilaksanakan pada 2017 yang memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang ketika itu berkata ini adalah ‘langkah awal ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati.

Sebagai bekas ketua polis negara yang beliau sendiri lebih maklum tentang perkara itu, “Pelaksanaan hukuman yang keras juga tidak menghalang seseorang daripada melakukan jenayah, baik kesalahan menyebabkan kecederaan mahupun pembunuhan,” kata kenyataan itu.

Gabungan itu juga menekankan bahawa pemansuhan hukuman mati sebagai bentuk hukuman tidak bermakna bahawa pelaku jenayah akan dibebaskan, dan bahawa mereka masih akan menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan.