Cadangan mansuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara dedah risiko bencana alam

Cadangan mansuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara dedah risiko bencana alam

Orang ramai terutama penduduk di daerah Kuala Langat perlu mengemukakan bantahan demi kesejahteraan pada masa depan.

“Sudah ada cara semulajadi untuk mengelak banjir, mengapa kita tidak jaga?”

Itu soalan yang diajukan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman apabila melihatkan notis cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Beliau berpendapat cadangan untuk mengeluarkan tanah dari kawasan hutan paya gambut itu amat tidak wajar diluluskan kerana bakal memusnahkan penebat banjir semulajadi.

“Hutan gambut ini serupa macam span yang menyerap air. Jika kita musnahkan hutan paya gambut ini, tidak mustahil akan datang berlaku masalah banjir yang airnya ‘termenung’.

“Sebabnya, kawasan yang sepatutnya mengurangkan impak banjir secara semula jadi sudah tiada.

“Apabila hujan lebat, air bertakung dan tidak bergerak kerana kawasan untuk ia melimpah sebelum ini sudah ditebusguna.

“Kalau kita musnahkan kawasan tebatan banjir itu tidak mustahil risiko berlakunya banjir sekali gus menelan kos yang besar untuk menangani impak banjir.

“Akibatnya, penduduk sekitar juga yang tentunya mengalami masalah,” tegasnya sambil memegang keratan notis pemansuhan HSKLU ketika hadir di pejabat Malaysia Dateline, 7 Februari lalu.

HSKLU yang dianggap ekosistem hutan paya gambut yang sensitif terletak di Mukim Tanjung Dua Belas atau daerah hutan Pantai Klang.

Cadangan pemansuhan hutan itu melibatkan kompartmen 6, 7 serta sebahagian 8, 9 dan 13.

Mengulas lanjut, Meor Razak berkata, keadaan lebih teruk akan berlaku apabila limpahan air hujan bertembung dengan arus pasang besar.

“Sudahlah kawasan tebatan banjir sudah tiada. Air dari hulu masuk terus ke sungai, air dari sungai masuk ke laut.

“Sudahnya nanti, kerajaan terpaksa buat tebatan banjir seperti bina parit, dalamkan sungai yang melibatkan kos mencecah ratusan juta ringgit,” keluhnya.

Meor Razak mengemukakan aduan mengenai cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di pejabat Malaysia Dateline.

Hanya 2.8 peratus

Mengikut notis Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bertarikh 5 Februari itu, pemansuhan HSKLU seluas 930.93 hektar (2,300 ekar) bertujuan untuk projek pembangunan bercampur.

Berhubung jumlah keluasan itu, Meor Razak mengakui terkejut kerana hanya berbaki 26.70 hektar atau 2.8 peratus daripada luas keseluruhan HSKLU jika cadangan tersebut diluluskan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai mengemukakan bantahan terhadap cadangan pemansuhan kawasan HSKLU dalam tempoh kurang 30 hari iaitu sebelum 6 Mac depan demi menyelamatkan sumber hutan dan kepelbagaian biologi.

“Orang awam yang peduli tentang pemeliharaan hutan ini ambillah peluang suarakan bantahan.

“Amat tidak wajar hampir keseluruhan HSKLU mahu dinyahwartakan untuk projek yang berkemungkinan besar berkepentingan komersil bukan kepentingan awam.

“Jarang-jarang berlaku keseluruhan hutan simpan kekal itu dimansuhkan. Biasanya hanya sebahagian,” ujarnya.

Dalam masa sama, Meor Razak menyarankan agar pihak berkuasa negeri mengurangkan jumlah keluasan HSKLU yang mahu dinyahwarta memandangkan cadangan projek tersebut bukan berkaitan kepentingan awam.

“Kalau mahu dibangunkan sekalipun janganlah hampir habis hutan dikerjakan. Lainlah kalau atas kepentingan awam yang tidak dapat dielakkan. Contohnya, kalau tidak dimusnahkan hutan ini, masyarakat akan dilanda wabak,” tambahnya lagi.

Cadangan pemansuhan sehingga 97.2 peratus keluasan HSKLU untuk pembangunan bercampur dilihat amat keterlaluan.