Cadangan mansuh surcaj pemuliharaan air bukti kerajaan P. Pinang peduli rakyat

Cadangan mansuh surcaj pemuliharaan air bukti kerajaan P. Pinang peduli rakyat

Kenaikan kadar tarif air di Pulau Pinang adalah selaras dengan pengumuman yang telah dibuat oleh kerajaan.

Sehubungan itu rakyat harus mengambil positif perkara ini kerana ia adalah untuk penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bahawa kenaikan tersebut mungkin mencecah sehingga 20 peratus.

Namun begitu, sekiranya tarif baru digunakan, kerajaan negeri berkemungkinan akan memansuhkan Surcaj Pemuliharaan Air (WSJ) sebanyak 48 sen bagi setiap 1000 liter.

Menurut Alan lagi, walau bagaimanapun tarif yang dikenakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang masih lagi yang terendah dalam negara ini jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Malah katanya, jaminan kerajaan negeri bahawa tarif air yang dinaikkan nanti masih rendah adalah suatu perkara yang harus diberi perhatian serius.

“Walau bagaimanapun sebagai sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, semua pandangan harus didengari.

“Sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri maupun pusat adalah menjadi tanggungjawab untuk mengenal pasti keluhan dan beban yang ditanggung oleh rakyat khususnya golongan bawahan.

“Cadangan kerajaan negeri untuk memansuhkan WSJ adalah suatu tindakan bertanggungjawab bagi meringankan beban rakyat di Pulau Pinang,” tegasnya.

Adalah difahamkan sebelum ini Pulau Pinang mengenakan WSJ sebanyak 48 sen setiap 1000 liter bagi penggunaan domestik melebihi 35,000 liter sebulan.

Ketika ini purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter sebulan pertama masih yang terendah dalam negara dengan pada kadar 32 sen setiap 1000 liter.