Malaysia Dateline

Cadangan Mukhriz sebagai TPM bukan dari saya, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau kini berada dalam keadaan serba salah ekoran nama anaknya Mukhriz dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Beliau berkata, sewaktu menjadi Perdana Menteri kali pertama beliau telah melarang anaknya bergiat dalam politik khususnya sebagai ahli parti kerajaan.

“Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahathir berkata, mereka (anak) bebas untuk berpolitik sama ada berjaya atau tidak politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya.

“Cadangan ini tidak datang dari saya,”katanya,

Beliau menambah dalam kenyataan bersama Presiden AMANAH Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing.

“Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” katanya.

Terdahulu, ada cadangan untuk menamakan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan anak beliau Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.