Cadangan paling sinis untuk PN: Jadikan bangunan Parlimen pusat kuarantin

Oleh Oleh BORHAN AHMAD

Cadangan paling sinis yang pernah dikemukakan oleh rakyat negara ini kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah menjadikan bangunan Parlimen sebagai pusat kuarantin.

Ini kerana, bangunan besar dan megah ini sudah begitu lama terbiar dan elok kalau ia dimanafaatkan ketika negara memerlukan lebih banyak pusat kuarantin untuk Covid-19.

“Saper setuju bangunan PARLIMEN yg dah lama dikosongkan, dijadikan sebagai pusat KUARANTIN COVID-19…????” tulis Rosli Arshad dalam satu postingnya dalam Umno FB Group Online.

Kenyataan ringkas ini mendapat reaksi yang sangat meluas di kalangan orang ramai dalam kumpulan di Facebook itu.

234 komen dibuat, 991 suka dengan kenyataan ini dan 33 lagi membuat perkongsian terhadap kenyataan ringkas ini.

Dan hampir kesemuanya menyokong cadangan ini dengan penuh sinis.

Omar Bin Ali Oba menulis, “Bagus tu dari diroboh atau ditinggal jadi rumah HANTU!!” berikutan ia sudah tidak digunakan walaupun Yang Dipertuan Agong sudah bertitah sidang Parlimen tidak disekat ketika baginda membenarkan perintah darurat dikenakan apabila dipohon oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah memberi jaminan, 42 ahli parlimen DAP  telah berikrar mereka tidak akan menyokong usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin jika parlimen dibenarkan bersidang untuk membincangkan usaha melawan Covid-19.

Ini kerana, ahli parlimen adalah wakil rakyat yang sah untuk menyuara kehendak rakyat negara ini apa yang mereka fikirkan untuk kebaikan mereka.

Kerajaan PN didakwa memohon untuk darurat diisytiharkan kerana mereka takut usul undi tidak percaya dikemukakan kepada Muhyiddin selepas Umno tidak lagi menyokong beliau.

Seorang lagi peserta dalam perbincangan itu, Kamarul Ibrahim pula mencadangkan, “Buat hospital jer.”

Roohul Haque pula berkata, “Cadangan yang amat baik.Sokong 100%. Lebih baik dari tak nak bersidang. Kalau parlimen jadi bersidang, cari lah mana2 padang bola dan pasang kemah! Tak payah aircon pun!”