Cadangan Pas jawatan utama kerajaan dikalangan ASWJ harus di bakul sampahkan, kata AMANAH Selangor

Cadangan Pas jawatan utama kerajaan dikalangan ASWJ harus di bakul sampahkan, kata AMANAH Selangor
Ahmad Fadhli Shaari ketika membentangkan resolusi Kluster Agama pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada Ahad lepas.

AMANAH Selangor membidas hujahan Pas pada Kongres Maruah Melayu (KKM) agar jawatan utama kerajaan harus diberikan dikalangan yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) adalah pandangan di luar konteks Perlembagaan dan agama yang harus dibakul sampahkan.

Pengarah Komunikasi Jamzuri Ardani berkata, hujah Ahli Parlimen Pas Ahmad Fadhli dalam pembentangan resolusi di bawah Kluster Agama seharusnya lebih memahami Perlembagaan negara.

“Tetapi beliau sendiri mencadangkan sesuatu yang boleh merosakkan Perlembagaan negara.

Jamzuri Ardani kolumnis

Jamzuri Amdani

“Adakah beliau tidak membaca bahawa kerajaan Islam Andalus dulu pernah melantik orang Yahudi sebagai Panglima Tentera yang berfungsi seperti Menteri Pertahanan.

“Tidakkan beliau membaca tentang Sultan Salahuddin Al-Ayyubi melantik seorang Yahudi sebagai doktor peribadinya yang juga menjadi salah seorang penasihat utamanya yang berpengaruh,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai mengulas mengenai resolusi yang dibentangkan Ahmad Fadhli yang mewakili Pas yang dipetik berkata, jawatan utama yang harus dipegang dikalangan ASWJ seperti jawatan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, dan lain-lain lagi.

Kata Ahmad Fadhli lagi adapun fahaman merosakkan seperti Syiah, perlu dielakkan daripada disebar atau dianuti oleh pemegang jawatan tertinggi negara ini.

Sehubungan itu Jamzuri berpendapat apa yang dicadangkan oleh Kluster Agama itu bukan melihat kepada keperluan rakyat dan negara.

“Sebaliknya hanya sekadar mainan politik murahan untuk menimbulkan kemarahan pihak lain.

“Ianya tidak lain melainkan sekadar provokasi politik.

Tujuannya ialah supaya ada pihak yang melenting bagi mengukuhkan naratif bigot dan rasis yang beliau anuti.

“Saya fikir, kertas cadangan itu wajar dimasukkan ke dalam bakul sampah sahaja,” ujarnya Jamzuri lagi.