Malaysia Dateline

Cadangan pindaan Akta MKN diberi kepada Kabinet, sebelum sidang seterusnya

Cadangan pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Kabinet, akan dibentangkan oleh Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, sebelum sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, sebelum ia dibawa ke peringkat Kabinet, beberapa perkara mengenai Akta MKN akan dibincangkan bersama Ahli Parlimen dan juga masyarakat awam.

Beliau menambah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet bersetuju untuk mengembalikan kuasa mengisytihar darurat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), tetapi ada pihak yang mahu akta berkenaan dimansuhkan sepenuhnya.

“Masyarakat perlu diingatkan, bahawa kuasa kepada MKN ini adalah untuk menjaga dan memelihara kawasan keselamatan.

“Sebagai contoh, bagaimana menangani pencerobohan sempadan oleh tentera asing yang kini berlaku sama ada secara sengaja atau pun tidak, atau kemasukan gerombolan bersenjata.

“Juga untuk menangani masalah bencana alam besar seperti di Manik Urai yang memerlukan pembabitan polis, bomba dan tentera, yang memerlukan bidang kuasa tertentu.

“Hal tersebut kita akan bincangkan dengan Ahli Parlimen dan masyarakat awam sebelum dimuktamadkan dan dibawa kepada jemaah Menteri sebelum sesi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Parlimen, hari ini.

Pada mesyuarat pertama penggal kedua Mac dan April lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin membentangkan pindaan Akta MKN 2016 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat menyaksikan YDPA bakal mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai kawasan keselamatan.

Bagaimanapun, bacaan kali kedua rang undang-undang itu yang dijadualkan pada sesi sebelum ini, ditangguhkan ke sesi kali ini dan menurut aturan mesyuarat dan usul hari ini, ia berada pada giliran keempat.