Malaysia Dateline

Cadangan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi dibuka untuk rundingan awam

 Satu rundingan awam berhubung cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) akan diadakan mulai 14 hingga 28 Feb ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pindaan ini adalah penting bagi memperkasa perlindungan data peribadi di Malaysia di samping memastikan akta berkenaan selari dengan kehendak revolusi ekonomi digital, teknologi, sosial dan perkembangan persekitaran.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata orang ramai boleh mengakses dan memberi maklum balas melalui laman sesawang Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/​

“Pemurnian terhadap rangka pindaan akta pula akan dilaksanakan pada bulan Mac,” kata Gobind.

Beliau menarik perhatian bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui JPDP telah melaksanakan kajian semakan semula Akta 709 pada 2019.

“Melalui proses kajian ini, kita telah mengenal pasti jurang dan kedudukan Akta 709 berbanding perundangan perlindungan data peribadi di negara lain seperti negara ASEAN, Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (Peraturan Perlindungan Data Umum EU),” kata Gobind.

Antara pindaan utama yang telah dicadangkan adalah meluaskan pemakaian akta kepada pemproses data, mewajibkan pengguna data melaporkan insiden ketirisan data peribadi kepada pihak berkuasa, meluaskan hak-hak subjek data dan memudahkan urusan pemindahan data peribadi rentas sempadan.

Mengulas lanjut, Gobind berkata pindaan-pindaan penambahbaikan yang relevan perlu dibuat supaya akta itu bersesuaian mengikut keadaan semasa dan sejajar dengan perkembangan ekonomi digital serta kepentingan e-dagang.

“Antara lain, kerajaan sedang mempertimbang peruntukan bagi memperketatkan lagi perlindungan data peribadi dan memperluas bidang kuasa sistem sedia ada serta tindakan ke atas pihak yang memperoleh atau memiliki data peribadi secara tidak sah,” kata menteri itu.

Kajian semakan semula Akta 709 oleh KKMM melalui JPDP itu dilakukan melalui penubuhan Pasukan Kerja Industri Perniagaan dan Sektor Kerajaan, Pasukan Kerja Pematuhan dan Penguatkuasaan, Pasukan Kerja Inovasi dan Teknologi serta Pasukan Kerja Perundangan dan Tadbir Urus.

JPDP turut mengadakan beberapa siri bengkel melibatkan pelbagai pakar dan profesional daripada pihak industri dan agensi pengawal selia, agensi kerajaan serta golongan akademik. — BERNAMA