Cadangan pindaan Seksyen 39B: Hukuman mati bukan penyelesaian, hakim masih terikat jatuh hukum

Cadangan pindaan Seksyen 39B: Hukuman mati bukan penyelesaian, hakim masih terikat jatuh hukum

Pemuda Pakatan Harapam (PH) melahirkan kesangsian terhadap keputusan kerajaan meletakkan syarat kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman selain hukuman mati kepada pesalah dadah di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini Pemuda PH berpandangan cadangan pindaan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) oleh Kerajaan yang memberikan budi bicara bersyarat kepada hakim , sebenarnya tidak memberikan kuasa sepenuhnya kepada kehakiman untuk menjatuhkan hukuman yang selayaknya kepada pesalah dadah.

” Ini kerana syarat untuk mendapatkan perakuan bertulis daripada Pendakwaraya sepertimana dalam seksyen 39B(2A)(d) ADB adalah diperlukan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman lain menunjukkan seolah-olah kuasa tersebut diletakkan sepenuhnya kepada pihak Pendakwaraya.

“Tanpa perakuan tersebut, Hakim tiada pilihan lain melainkan untuk menjatuhkan hukuman mati,” ujar kenyataan itu.

Justeru Pemuda PH berkata, tindakan ini bukanlah suatu budi bicara yang diharapkan kerana kuasa hakim masih lagi terikat dengan cadangan pindaan terbaru itu.

“Kerajaan seharusnya tidak mencampuri kuasa kehakiman dalam menentukan hukuman berdasarkan “case to case basis” dan bukannya dengan pendekatan hukuman “one size fits all” kepada pesalah dadah.

“Pemuda Harapan juga meragui keazaman Kerajaan untuk mengurangkan pelaksanaan hukuman mati kerana cadangan pindaan terbaru ini juga tidak terpakai kepada kes-kes 39B yang kini dalam proses rayuan baik di peringkat Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan.

“Jika benar Kerajaan serius terhadap pengurangan atau pemansuhan pelaksanaan hukuman mati, semakan semula kes-kes terdahulu hendaklah dilakukan segera agar lebih ramai nyawa dapat diselamatkan,” ujarnya kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun secara zahirnya ada pengecualian terhadap hukuman mati, namun hukuman tersebut masih kekal dan akan terus dikuatkuasakan sekiranya syarat-syarat dalam cadangan pindaan terbaru ini tidak diikuti.

“Kesannya, hakim masih lagi tidak boleh menjatuhkan apa-apa hukuman selain hukuman mati.

“Oleh itu, Pemuda Harapan menyeru sudah tiba masanya Kerajaan mengambil pendirian tegas untuk menyemak semula kesemua kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati dan kewajaran hukuman tersebut dalam konteks terkini.

“Ini adalah kerana hukuman mati telah dimansuhkan oleh 140 buah negara dan tiada halangan untuk Malaysia mengikut jejak langkah serupa.

“Apa yang lebih utama kini adalah untuk melaksanakan polisi yang mampu untuk menangani masalah penagihan dan pengedaran dadah dan bukannya tertumpu kepada hanya hukuman semata-mata,” ujar kenyataan itu.

enyataan bersama dibuat oleh Naib Ketua Pemuda AMANAH Wan Anwar Wan Ibrahim;Adun Padungan Wong King Wei;Murnie Hidayah Anuar (AMK) dan; Farhan Haziq Mohamed (DAPSY).

Pemuda PH turut mendedahkan dapatan kajian pernah dilaksanakan Pemuda Harapan mendapati terdapat sebanyak 1,743 tangkapan yang melibatkan penuntut sekolah dan sebanyak 1,953 tangkapan yang melibatkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi di bawah Seksyen 39B daripada Januari 2014 sehingga Oktober 2017.

Dalam keadaan ini, ujar kenyataan Pemuda Harapan itu lagi, adalah tidak wajar bagi Kerajaan untuk bergantung kepada hukuman mati semata-mata untuk menyelesaikan masalah pengedaran dadah.

Bagaimana pun Biro Undang-Undang Pemuda PH mengalukan-alukan cadangan pindaan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) oleh Kerajaan itu.

“Namun, Pemuda PH mengingatkan Kerajaan bahawa reformasi undang-undang ini tidak seharusnya terhenti setakat ini kerana satu keazaman politik juga adalah diperlukan untuk menyemak semula hukuman mati yang sedia ada dalam perundangan negara dengan tujuan untuk memansuhkannya jika perlu.

“Pemuda Harapan berpandangan bahawahukuman mati kepada pesalah dadah tidak pernah menunjukkan sebarang pengurangan kes apatah lagi menginsafkan rakyat secara amnya.

“Malah keterdesakan ekonomi dan pengaruh rakan sebaya adalah sebenarnya menjadi punca mengapa berlaku pengedaran dadah secara berleluasa dan ramai anak muda yang menjadi mangsa keldai dadah adalah hanya kerana untuk mencari jalan mudah mendapatkan wang,” ujar kenyataan Pemuda Harapan itu lagi.

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES