Malaysia Dateline

Cadangan PPSMI belum dibawa ke Kabinet, kata menteri

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, cadangan mewujudkan semula PPSMI belum dibawa ke Kabinet lagi.

Oleh itu, katanya, ia belum lagi dibuat keputusan oleh Kabinet dan hanya cadangan Menteri Pendidikan sahaja.

“Ia belum dibawa ke kabinet lagi dan belum jadi keputusan rasmi kerajaan lagi,” kata Khalid dalam temubual dengan Jom Channel malam ini.

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit para menteri tidak berani melawan cakap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia belum dibincangkan lagi.

Media hari ini melaporkan konon kerajaan akan melaksanakan semula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI.

Pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dikatakan mahu pengajaran sains dan matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya semalam, Mahathir berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.

“Geografi dan sejarah boleh diajar dalam bahasa mana-mana tetapi sains dan matematik bukan bidang pengetahuan pribumi, ia berasal dari luar negeri.

“Kebanyakannya sampai kepada kita melalui bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Ini bermakna kita tidak akan mengelirukan orang ramai.

“Kita dapati mereka yang belajar sains dalam bahasa Melayu tidak boleh bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan,” katanya.

Ekoran itu, ada yang mendakwa para menteri tidak berani bantah Tun Dr Mahathir sedangkan merekalah dahulu yang membantah PPSMI.

“Ada yang kata, menteri tak berani lawan Dr Mahathir, dalam masa yang sama ada kata kerajaan dikuasai DAP.

“Yang mana satu sebenarnya, ini saya tak faham,” kata Khalid yang merupakan Pengarah Komunikasi Amanah.