
Cadangan semak semula dasar pengecualian cukai daripada bayaran zakat perlu ditentang
Cadangan Ahli Parlimen Kangar daripada PKR, Amin Ahmad untuk menyemak semula dasar pengecualian cukai daripada bayaran zakat perlu ditentang.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, cadangan tersebut perlu ditentang kerana ia merupakan usaha untuk memisahkan urusan agama daripada urusan negara.
Katanya, dalam erti kata lain, ianya untuk mensekularkan negara ini yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ahli Parlimen Kangar (Amin Ahmad) perlu ingat, cadangan begini bukan hanya akan menyusahkan penganut agama Islam, tetapi akan menyusahkan juga penganut agama lain.
“Ini kerana, jika amalan memberi rebat cukai untuk bayaran zakat ini dimansuhkan, maka institusi, organisasi atau tabung untuk rumah ibadat dan kemajuan keagamaan yang menikmati tolakan dan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, juga terpaksa dimansuhkan.
“Mengikut Seksyen 6A (3), Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, ‘Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat atau tuntutan lain agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu.
“Ia dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.
“Tidak ada salah dan silapnya amalan memberi rebat cukai untuk bayaran zakat atau tuntutan lain agama Islam yang mana pembayarannya wajib seperti yang diamalkan sekarang kerana ia selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sepatutnya memburu individu-individu dan syarikat-syarikat, termasuk mereka yang bergerak dalam gelap dan langsung tidak membayar cukai.
“Dan bukannya untuk menambahkan lagi beban umat Islam supaya dua kali membayar zakat dan membayar cukai pendapatan.
“Ahli-ahli Parlimen PH diingatkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu didaulatkan antaranya dengan pemberian rebat cukai bagi pembayaran zakat ini.
“Tetapi malang sekali perkara ini tidak mampu dihayati oleh pemimpin PH yang dilihat lebih memperjuangkan hak sama rata untuk semua agama, sekali gus mengetepikan keistimewaan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya lagi.