Malaysia Dateline

Cadangan tamatkan khidmat penjawat awam yang tidak divaksin bukan jalan penyelesaian

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 vaksin Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan agak keras dan terlalu ‘rigid’ dalam menangani penjawat awam yang anti-vaksin.

Malah kerajaan tidak seharusnya terus menghukum mereka dan kempen penerangan serta memujuk golongan anti- vaksin secara berterusan, sistematik dan menyeluruh harus dilaksanakan.

Menurut Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan(Pejuang), Datuk Khairuddin Abu Hassan, golongan anti-vaksin tersebut harus diberi kefahaman dengan lebih mendalam mengenai keperluan mengambil vaksin demi menjaga kesihatan diri mahupun orang ramai.

“Dalam masa yang sama Pejuang Wilayah Persekutuan akan menggerakkan inisiatif bagi menembusi golongan anti-vaksin dan seterusnya memberi kefahaman mengenai perlunya vaksinasi tersebut.

“Sepertimana yang tercatat dalam Pekeliling Perkhidmatan kakitangan kerajaan yang menyatakan secara jelas bahawa mana-mana penjawat awam. yang enggan divaksinasi kemungkinan akan diambil tindakan disiplin ataupun ditamatkan perkhidmatan.

“Persoalannya apakah hanya ini jalan penyelesaian dan apakah pula implikasi dari segi undang-undang yang selaras dengan doktrin ‘human rights’ sekiranya tindakan ‘rigid’ seperti ini diambil terhadap mereka,” tanya beliau melalui satu kenyataan.

Sejajar dengan itu kata beliau, penerangan yang mendalam dan kaedah pujuk rayu agak berkesan
bagi merealisasikan matlamat menggalakkan semua pihak supaya menyahut seruan vaksinasi diri demi kebaikan dan keselamatan seluruh rakyat dalam negara ini.