Tubuh suruhanjaya teliti kebajikan dan keselamatan pengamal perubatan

Tubuh suruhanjaya teliti kebajikan dan keselamatan pengamal perubatan

Pemuda Amanah Nasional mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji kebajikan, keselamatan dan skim perkhidmatan pengamal perubatan bertujuan meringankan bebanan tugas mereka yang berkhidmat di hospital kerajaan.

Pengarah Biro Kesihatan Pemuda Amanah, Dr Muhammad Omar berkata, suruhanjaya ini perlu secara aktif mengkaji dan melaksanakan penambahbaikan secara keseluruhan sistem dan waktu bekerja di kalangan pengamal-pengamal perubatan.

“Ia termasuklah menangani isu seperti gaji dan imbuhan, lambakan graduan perubatan, latihan pegawai-pegawai perubatan baru dan sebagainya.

“Tugasan pegawai perubatan sememangnya satu tanggung jawab yang berat. Pengamal-pengamal perubatan ini bekerja keras melaksanakan tugas untuk menjaga kebajikan dan nyawa pesakit, tetapi siapa pula yang memikirkan kebajikan dan keselamatan nyawa mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai tragedi yang menimpa seorang pengamal perubatan, Dr Nurul Huda Ahmad yang juga pelajar tahun  3 sarjana (pakar) kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Kejadian kemalangan yang meragut nyawa itu berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang selepas melakukan tugasan ‘on call’ di hospital.

Dr Muhammad juga berharap tindakan menyeluruh dapat diambil bagi memastikan episod sedih dan menyayat hati ini tidak berulang dan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan dari pihak bertanggungjawab.

“Pemuda Amanah Nasional melahirkan rasa sedih apabila mendengar berita kemalangan ini. Kami merakamkan salam takziah kepada suami dan keluarga Almarhumah. Doa kami agar roh Almarhumah ditempatkan bersama mereka yang diredhai Allah dan para syuhada.

“Kejadian ini juga  mengingatkan kita  kembali kepada insiden pilu yang pernah melibatkan Allahyarham Dr Nur Afifah Mohd Ghazi pada Julai 2015 di Sungai Buloh. Moga Allah merahmati mereka berdua yang berjihad berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)