Malaysia Dateline

Cadangan wajibkan suntikan vaksin imunisasi bakal dibentang

Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin ekoran keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

“Saya akan membawa perkara ini dalam mesyuarat pascakabinet KKM. Andainya disokong, kita akan membawa ke peringkat Kabinet pula.

“Saya percaya akan ada hujah yang menyokong dan menentang cadangan ini, KKM akan mempertimbangkan semuanya secara serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Islam Sihat Walafiat di Masjid Al Hana, di Langkawi, malam tadi.

Ditanya tahap penolakan suntikan vaksin imunisasi ketika ini, beliau berkata, keadaannya belum membimbangkan, namun kadangkala ibu bapa menolak vaksin memberi alasan yang tidak berdasarkan ‘evidence based’ atau kajian klinikal.

“Kita akan bentangkan dalam tempoh waktu yang munasabah. Kita perlu ada konsultasi dan merujuk pemegang taruh.

“Jika kita mahu menangani perkara ini dengan baik dan cermat, kita perlu ada sesi keterlibatan seperti sesi perjumpaan townhall,” tambahnya lagi.