Malaysia Dateline

Cadangan wujudkan Majlis Konsultasi Politik capai penyatuan Melayu

Penganalisis politik berpendapat perlu untuk menubuhkan satu Majlis Konsultasi Politik Melayu melibatkan semua presiden setiap parti berteraskan Melayu untuk mencapai penyatuan biarpun berbeza haluan parti.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, penubuhan lebih banyak parti politik baharu juga dilihat tidak membawa peranan agenda penyatuan Melayu  sebaliknya hanya menunjukkan sikap ketaksuban untuk berparti.

Md Shukri Shuib

“Orang Melayu kita hari ini sebenarnya bukan terlampau berpolitik, tetapi mereka terlampau berparti dan berpuak. Kebanyakannya (orang Melayu) melihat parti itu sebagai lambang, kononnya nak bersatu itu perlu ada parti. Tetapi mereka tak sedar, politik matang dan mementingkan ‘survival’ itu lebih utama.

“Hari ini kalau kita lihat, Melayu berpolitik sudah begitu parah sehingga elemen bangsa dan agama pun di asimilasi kan dengan parti. Sebab itu ada parti yang menyatakan kalau tak sokong dia boleh jadi kafir.

“Saya lihat perlu untuk tubuhkan satu Majlis Konsultasi Politik Melayu yang melibatkan semua presiden dari setiap parti berteraskan Melayu untuk membincangkan permasalahan kaum Melayu supaya kita boleh mencapai penyatuan yang baik,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu perpecahan Melayu yang dikatakan berpunca daripada perpecahan pemimpin yang mula mengikut kelompok kepartian politik masing-masing

Md Shukri berkata, penyatuan masyarakat Melayu tidak seharusnya dilihat dengan penubuhan lebih banyak parti Melayu yang secara terang hanya menyerlahkan semangat ‘hyper’ untuk berparti.

Perkara berkenaan jelas memaparkan keparahan segelintir pemimpin Melayu yang megah berpolitik sehingga mengaitkan parti dengan bangsa dan agama.

Tambahnya lagi, majlis tersebut perlu dianggotai oleh presiden parti dan dinaungi oleh seseorang yang prominen dalam masyarakat Melayu seperti tokoh ekonomi Melayu-Islam terkenal, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Namun begitu, katanya, apabila pemimpin yang diangkat tiada kematangan untuk membawa penyatuan dan perpaduan, maka renggangnya hubungan kaum bukan kerana politik semata-mata.

Jelasnya, perpecahan kaum Melayu disebabkan sikap dan hati orang Melayu yang kurang semangat mencapai perpaduan dan bukan kerana parti politik sebagai punca.

Beliau turut ditanya tentang Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan keperluan parti itu untuk bergabung bersama Umno-Pas atau menjadi komponen dalam Pakatan Harapan (PH), untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) kelak.

“Ya, kita pun tahu kecenderungan Datuk Ibrahim Ali sekarang ini lebih kepada Umno dan Pas. Tetapi ia terpulang lah kepada beliau (sama ada mahu bergabung atau bergerak sendiri). Itu bergantung kepada keperluan partinya.

“Lagi pula, saya lihat sekarang ini beliau hanya membanyakkan parti sahaja. Peranan itu jadi kurang signifikan. Tetapi kita harus faham  apa yang cuba dibuat itu adalah berada di landasan demokrasi. Hak dan kebebasan untuk mana-mana individu mewujudkan parti dengan matlamat dia sendiri,”ujarnya.