
Cagamas terbit kertas komersial Islam RM305 juta
Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, mengumumkan terbitan Kertas Komersial Islam (ICP) tiga bulannya yang berjumlah RM305 juta.
Cagamas dalam satu kenyataan hari ini berkata ICP itu akan diterbitkan di bawah struktur Komoditi Murabahah di mana hasil daripada terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan Islam rumah daripada sistem kewangan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chung Chee Leong berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 Malaysia yang diumumkan minggu lepas menunjukkan pertumbuhan kukuh 4.7 peratus meskipun persekitaran pasaran yang mencabar tahun lepas.
“Momentum belian kukuh daripada pelabur dalam pasaran bon domestik dapat dilihat seperti yang dibuktikan daripada lelongan Sekuriti Kerajaan Malaysia baru-baru ini dengan nisbah bida kepada perlindungan hampir 2.6 kali.
“Oleh itu, terdapat kesan limpahan dalam segmen bon korporat yang menyumbang kepada kejayaan penetapan harga syarikat bagi ICP tiga bulannya,” katanya.
Chung berkata ICP itu mendapat sambutan menggalakkan daripada institusi kewangan dan telah dimuktamadkan menerusi tawaran saham persendirian.
Beliau berkata dengan peningkatan kadar hasil dalam pasaran tempatan ditambah dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, ICP itu secara kompetitif berharga setara dengan penanda aras kadar KLIBOR tiga bulan tempatan, yang ketika ini berada pada 3.69 peratus.
Kertas-kertas itu, yang akan ditebus semula pada nilai nominal penuhnya selepas kematangan, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, berada di kedudukan setara dalam kalangannya sendiri dan dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat, katanya.
— BERNAMA