Caj parkir: DBKL perlu proaktif, contohi kerajaan Selangor

Caj parkir: DBKL perlu proaktif, contohi kerajaan Selangor

Dalam mencari penyelesaian kepada kesesakan lalulintas di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sewajarnya lebih proaktif dan tidak berlepas tangan dengan menyalahkan pihak lain.

TRANSIT, sebuah NGO yang memperjuangkan isu pengangkutan awam di ibu kota mahu penyelesaian lebih lestari diambil oleh DBKL berbanding penyelesaian yang menambah beban pengguna.

Pengerusinya, Tsaqeef Mohamad berkata, DBKL antara pihak berkuasa tempatan terkaya di negara ini wajar mencontohi kerajaan Selangor memberikan perkhidmatan bas percuma kepada negeri itu.

“Mengapa DBKL tidak proaktif seperti Kerajaan Selangor yang menanggung kos bas percuma? Atau wujudkan sistem van percuma yang kosnya lebih rendah dan corak perjalanan lebih mesra jalan kecil.

“Apabila koridor van ‘hub and spoke’ berpaksikan pusat-pusat bandar ini diwujudkan, barulah wajar untuk laluan feeder sedia ada dibaikpulih supaya laluan bas yang menghubungkan ke jajaran rel peringkat wilayah (MRT, LRT, KTM) dapat diperkemaskan dan ditambah kekerapan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan DBKL menaikkan caj parkir di ibu negara atas alasan antara lain mahu mengurangkan kesesakan lalulintas.

Datuk Bandar Datuk Seri Mhd. Amin Nordin sebelum ini berkata, orang ramai masih mempunyai pilihan untuk terus memandu kenderaan sendiri atau menaiki pengangkutan awam ekoran kenaikan kadar bayaran parkir di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun banyak pihak mendakwa sistem pengangkutan awam di negara ini khususnya di ibu negara masih di tahap kurang memuaskan dan masih tidak mampu menampung keperluan pengguna.

Ia ditambah lagi dengan kenaikan tambang berlipat kali ganda hampir semua sektor pengangkutan awam seperti yang diumum kerajaan sebelum ini.