Malaysia Dateline

Caj parkir MBSA naik 20 sen

 Caj tempat meletak kereta di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) naik daripada 40 sen kepada 60 sen bermula 1 April depan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, turut berlaku kenaikan ialah caj parkir bulanan daripada RM60 kepada RM90.

“Kenaikan kadar caj tempat kereta 60 sen berbanding 40 sen sebelum ini adalah wajar kerana kadar lama itu diguna pakai sejak tahun 1998.

“Kadar ini masih paling rendah berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun kenaikan kadar tersebut bermula 1 April ini, pengguna yang masih memiliki kupon berharga 40 sen masih boleh guna kupon tersebut sehingga tamat tempoh.

Katanya, MBSA akan terus menambah baik perkhidmatannya supaya lebih cekap dan efisien dalam meningkatkan lagi sistem pengangkutan di bandar raya Shah Alam.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan kadar caj tempat letak kereta boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-55222882.   – BERNAMA