Caj penumpang di LTAM diberi rebat selama 5 tahun

Caj penumpang di LTAM diberi rebat selama 5 tahun

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini mengumumkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memberikan rebat RM50 bagi caj penumpang penerbangan antarabangsa luar ASEAN, yang pada masa ini dikenakan RM73.

Manakala bagi penerbangan dalam ASEAN caj penumpang penerbangan diberikan rebat RM20 daripada jumlah RM35 yang dikenakan sebelum ini.

Adly berkata, caj selepas rebat ialah RM23 bagi luar ASEAN dan RM15 bagi dalam ASEAN, manakala caj penumpang penerbangan bagi domestik pula kekal RM11.

Pihak MAHB telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri dan bersetuju untuk mengurangkan caj penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dengan memberikan rebat selama 5 tahun.

Selain pengurangan caj penumpang, Pihak MAHB juga bersetuju mengecualikan caj pendaratan selama 1 tahun dan memberikan insentif tunai kepada syarikat-syarikat penerbangan untuk mempromosikan LTAM sebagai destinasi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Kerajaan negeri berharap insentif yang diberikan ini akan menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTAM.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insentif dilaksanakan LTAM, Batu Berendam itu khusus buat pengguna bagi menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di Melaka.

“Kita harap semua syarikat pengendali penerbangan akan memberi kerjasama mencari langkah-langkah yang lebih kreatif.

“Ini bagi menambah operasi dan memastikan lebih banyak perkhidmatan diperkenalkan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Melaka Sentral semalam.

Katanya, Rebat caj penumpang diperkenalkan MAHB selama lima tahun kepada syarikat penerbangan wajar disalurkan.

COMMENTS

Wordpress (0)