Caj perundingan swasta diumum akhir tahun ini

Caj perundingan swasta diumum akhir tahun ini

Kementerian Kesihatan akan mengumumkan kadar caj perundingan pengamal perubatan am swasta, akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ketika ini kementerian dalam peringkat akhir sebelum memutuskan penetapan kadar kenaikan caj perundingan tersebut.

“Kita belum lagi memuktamadkannya…kita dalam peringkat akhir, yang mana kita telah mengikut keputusan kabinet menyerahkan perkara itu kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi meneliti kadar kenaikan tersebut.

“Saya pun telah diberi satu taklimat oleh NACCOL berhubung penetapan yang dibuat dari segi penyelarasan ‘bayaran perundingan’ itu, saya yakin dapat diselesaikan penghujung tahun dan sejurus dapat kelulusan dari NACCOL saya akan bentangkan perkara itu kepada jemaah menteri (untuk dimuktamadkan kadar kenaikan caj tersebut),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kem Kesihatan Bersama Hospital Tung Shin semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar kenaikan caj perundingan pengamal perubatan am swasta yang sepatutnya dimuktamadkan bulan ini.

Cadangan itu dibangkitkan sebelum ini, susulan permohonan 7,000 doktor perubatan umum untuk mengharmonikan fi perundingan yang tidak disemak sejak sekian lama.

Kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor swasta di seluruh negara dicadang untuk dinaikkan antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35, yang tidak disemak hampir 12 tahun.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya akan memperkasakan lagi perubatan tradisional dan komplementari (T&CM) di negara ini.

“Sejak Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) diperkenalkan, 15 hospital kerajaan negara kita telah mengamalkan T&CM terutama dari segi ‘postnatal’ dan ‘primary health care’.

Kita mahu ambil manfaat daripada perubatan ini termasuklah dari kaedah perubatannya seperti Ayurveda dan Homeopati, seperti pendekatan yang digunakan Hospital Tung Shin yang mana dalam hospital ini turut menempatkan 40 orang pengamal perubatan tradisional Cina bagi menawarkan rawatan alternatif kepada pesakit, ” katanya.

— BERNAMA