Caj sewa dan utiliti Majlis Perbandaran Sandakan bebankan penghuni PPR

Caj sewa dan utiliti Majlis Perbandaran Sandakan bebankan penghuni PPR

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) digesa berhenti menindas penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni dengan memaksa mereka menandatangani surat perjanjian sewa rumah dan caj utiliti yang membebankan.

Ketua AMANAH Batu Sapi Hamzah Abdullah berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penghuni rumah PPR yang mengeluh dengan kadar sewa baru dan utiliti dikenakan MPS.

Sehubungan itu, beliau menggesa Presiden MPS Datuk James Wong menyemak semula bayaran yang dikenakan kepada penghuni yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

“Untuk menduduki rumah PPR tersebut, mereka perlu membayar sewa RM250 campur bil air yang tinggi, caj pembersihan dan bayaran yang lain sehingga lebih RM1000. Bayaran ini perlu dibuat pada 1 September 2016 sedangkan mereka hanya dapat kunci rumah pada 27 Oktober 2016,” ujarnya.

Menurut Hamzah, bayaran RM50 setiap bulan bagi setiap unit PPR yang dikenakan MPS untuk kos pembersihan hanya membebankan para penyewa sedangkan kawasan sekeliling rumah PPR tetap kotor dan tidak terurus.

Jelas Hamzah, terdapat juga penduduk yang terpaksa membayar bil air yang tinggi kepada MPS dan diugut dengan kata-kata kasar bahawa rumah mereka akan diambil sekiranya tidak mahu menandatangani surat ‘Aku Janji’ bayaran sewa dan utiliti.

“Bil air sepatutnya bayar terus kepada Jabatan Air, namun MPS seolah-olah membuat perniagaan dan memaksa penduduk membayar kepada mereka. Terdapat kes bil air mencecah RM126 walhal kadar penggunaannya mungkin sekitar RM20 sahaja sebulan.

“Mereka juga turut diugut oleh MPS akan dirampas semula rumah sekiranya enggan menandatangani ‘Aku Janji’ dan membayar bayaran utiliti dan sewa rumah,” katanya.