Cakap Rahman Dahlan ‘hanya orang bodoh tak tahu MO1’ diserang netizen

Cakap Rahman Dahlan ‘hanya orang bodoh tak tahu MO1’ diserang netizen

“Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu,” ujar Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan malam tadi.

Bagaimanapun, kenyataan Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan Umno bahagian Kepong itu hanya mengundang ‘serangan’ netizen.

Lebih mengundang kritikan pengguna Facebook apabila ahli Majlis Tertinggi Umno tersebut menafikan Malaysian Official 1 yang disebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) itu sebagai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau tak Najib MO 1 (Malaysian Official 1), siapa lagi? Hanya orang bodoh sahaja yang tidak tahu macam Rahman Dahlan,” bidas Annuar Salleh.

Pengguna Facebook, Ishak Majid pula berkata, “macam cakap kat diri sendiri je” manakala Low Kam Fai menulis, “Percubaan yang baik tetapi langsung tidak masuk akal dan buat kamu (Rahman Dahlan) kelihatan bodoh atau terencat.”

Sementara itu, Lee Sau Min berpendapat panggilan Malaysian Official 1 merupakan ganti nama seseorang yang berkuasa atau berautoriti dalam menentukan sesuatu keputusan.

“Ganti nama sering digunakan untuk menunjukkan kedudukan, kuasa dan peranan,” jelasnya lagi.

Tidak kurang ‘tajamnya’, apabila Anjang Aki menganggap kenyataan Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menjejaskan nama baik kalangan guru yang mendidiknya sebelum ini.

“Jawapan dan penjelasan yang begitu dangkal dan dungu, maka sudah diketahui taraf mana minda dan kecerdikan Rahman Dahlan ini. Sayang, memalukan guru-guru yang pernah mengajarnya dulu,” tegasnya.

Dokumen undang-undang yang diumumkan oleh Peguam Negara AS, Loretta Lynch pada 20 Julai lalu memaklumkan Malaysian Official 1 sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia dan memegang jawatan yang berkuasa dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Turut dinyatakan sebanyak AS$731 juta (RM2.95 bilion) disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik Malaysian Official 1.

Untuk rekod, The Wall Street Journal pada Julai tahun lalu mendedahkan sejumlah wang hampir AS$700 (RM2.6 bilion) juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Tidak lama selepas itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu rakaman video yang kemudiannya viral memberitahu Najib mengakui memperoleh wang itu daripada seorang individu di Timur Tengah.

COMMENTS

Wordpress (0)