Malaysia Dateline

Cakap tak fikir, akhirnya hangat-hangat tahi ayam, kata Kadir kepada Shahidan

Tokoh wartawan negara menyifatkan sikap dan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai ‘cakap tak fikir’ dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Ini berikutan tindakan beliau tidak mahu menjawab panggilan telefon apabila ratusan panggilan telefon diterima selepas beliau memaparkan nombor telefonnya dan meminta orang ramai menghantar SMS pula.

“Cakap tak fikir. Mula-mula suruh telefon. Bila dibanjiri panggilan minta hantar pesanan teks pula. Kesudahannya hangat-hangat tahi ayam,” tulis Datuk A Kadir Jasin menerusi facebook beliau mengulas olah Shahidan itu.

Kelmarin, Shahidan berjanji akan menyelesaikan segala aduan di Kuala Lumpur dalam masa 24 jam.

“Kami bersiap siaga. Rakyat Malaysia boleh hubungi. Yang baru datang Kuala Lumpur, jumpa jalan berlopak boleh hubungi kami dan kami akan ambil tindakan dalam 24 jam,” katanya.

Dia turut berkongsi nombor telefon timbalannya Jalaluddin Alias, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.

Nombor telefon yang dipaparkan Shahidan adalah 0194545111 manakala timbalannya Jalaluddin 0196524444.

Namun selepas nombor itu dipaparkan, beliau mengeluh kerana tidak sempat menjawab semua panggilan itu.

“Saya terima beratus panggilan berhubung jalan berlubang dan saya tidak sempat mengangkat panggilan satu per satu.

“Saya meminta untuk mereka menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan saya akan mengambil tindakan serta merta,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.