Cakap tidak ikut fatwa masuk saja politik, bidas Ahmad Awang

Cakap tidak ikut fatwa masuk saja politik, bidas Ahmad Awang

Ahmad AwangDakwaan kononnya umat Islam yang bekerjasama dengan DAP adalah ‘haram serta berdosa besar’ hanyalah tuduhan bersifat peribadi bukannya fatwa, kata Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) Ustaz Ahmad Awang.

Sehubungan itu Ahmad membidas kenyataan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman semalam, bahawa mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Abdul Rahman dilaporkan sebagai berkata, politik kebencian yang diamalkan DAP jika berterusan dibimbangi boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Ini kerana DAP, katanya tergolong sebagai ‘kafir harbi’ kerana menentang pelaksanaan hukum hudud dan terkini menentang Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Pindaan) 2016 yang dibentangkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Mei lalu. 

“Itu pendapat peribadinya (Abdul Rahman) bukan fatwa. Cakap politik sajalah.  Jika dia nak cakap begitu, kenalah tanya kepada kami (Amanah) atau DAP sendiri.

“Dulu zaman Pas bersama DAP tiada pula dia nak kata DAP kafir harbi. Sedangkan ketika itu mendiang Karpal Singh kata langkah mayat dia, jika Tok Guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat) mahu laksanakan hudud di Kelantan. Tok Guru pergi jumpa Karpal dan menerangkan kepadanya mengenai hudud.

“Dari dulu DAP takut pada Islam tetapi bila dapat penjelasan pada kami (Amanah) mereka kini  sanggup bersama-sama dalam Pakatan Harapan,” ujar Ustaz Ahmad kepada Malaysia Dateline.

Ahmad yang juga bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menjelaskan, maksud kafir harbi itu  ialah orang kafir yang tidak mahu patuh dan tunduk dengan pemerintahan Islam di sebuah negara Islam.

Namun katanya, di Malaysia belum lagi dilaksanakan pemerintahan Islam yang sebenar.  Oleh itu untuk melabelkan DAP itu sebagai kafir harbi dan orang yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram dan berdosa besar adalah tidak wajar sama sekali.

“Adakah kita ini sudah negara Islam sepenuhnya. Adakah negara Islam itu semata-mata laksana hudud sahaja?

“Dia tidak faham apa sebenarnya. Jika dia nak keluarkan fatwa kena panggil pakar di kalangan profesional dan ulama untuk teliti sedalam-dalamnya dasar parti DAP itu untuk melabelkan pemimpin parti itu sebagai kafir harbi.

“Kenapa tak sebut pemimpin MCA, Gerakan yang majoriti ahlinya Cina yang turut menentang hudud dan RUU baru-baru ini, kenapa sebut DAP sahaja? Sedangkan dalam DAP ada ahlinya juga dikalangan orang Melayu Islam.

“Bercakap atas rasa politik, cakap ikut suka hati… jangan mengada-adakan bercakap dalam bulan Ramadan sebegini. Ini yang memalukan umat Islam,” tegasnya.

Ustaz Ahmad turut mempersoalkan Umno dan mufti terbabit sama ada sudah bertemu dan mendengar penjelasan daripada pemimpin DAP atau sekadar bercakap politik.

Malah katanya lagi, isu hudud dan RUU bukan perkara baru yang turut ditentang oleh sebahagian pemimpin Umno.

“Isu hudud bukan isu baru pemimpin dan ahli Umno pun ada yang menentang hudud…Kalau dia kata DAP kafir harbi menentang hudud jadi Umno juga boleh disamakan dengan kafir harbilah.

“Sejak dulu lagi zaman Tun Mahathir memerintah, Umno suka menuduh orang Melayu yang menyertai DAP adalah haram dan berdosa.

“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan beginilah, yang jatuhkan imej Islam kerana bercakap ikut suka hati kerana memegang jawatan mufti.

“Itulah yang terjadinya perang sesama Islam kerana sesama Islam pun boleh kafir mengkafirkan, mengharamkan dan berdosa besar, janganlah menghukum ikut hawa nafsu,” ujarnya.

Justeru beliau menasihati mufti terbabit agar mengeluarkan kenyataan bersandarkan fatwa dan bukan pandangan peribadi.

“Kalau nak keluarkan sebarang kenyataan bawa dulu kepada majlis fatwa, panggil orang-orang profesional yang tahu perlembagaan dan hukum pemerintahan Islam untuk dibincangkan dan difatwakan.

“Dalam DAP itu sendiri ada pakar perlembagaan seperti Dr Aziz Bari dan kami yang duduk bersama tahu bahawa DAP terima Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara.

“Jika dia nak keluar fatwa tanpa mengikuti kaedah sepatutnya, berhentilah jadi mufti… elok cakap politik, masuk saja politik,” tegasnya.

COMMENTS

Wordpress (0)