Malaysia Dateline

Calon 24 tahun 2 orang, 60 tahun ke atas 141 orang bertanding di PRN Sarawak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan calon yang berusia 60 tahun ke atas paling ramai bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu seramai 141 calon.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataannya hari ini berikutan selesainya proses penamaan calon pada jam 10 pagi tadi.

Manakala umur calon dari 50 ke 59 tahun pula seramai 113 orang dan calon muda berusia 21 hingga 29 tahun mempunyai bilangan paling sedikit iaitu seramai 8 orang sahaja.

Di mana umur calon termuda iaitu berusia 24 tahun bertanding di DUN batu Lintang mewakili Parti Keadilan Rakyat dan di DUN Nangka dari Parti Bumi Kenyalang.

Calon yang paling tua iaitu berusia 79 tahun bertanding di DUN Bawang Assan dari Pari Sarawak Bersatu.

Selepas tempoh penamaan calon di 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) ditutup pada pukul 10.00 pagi, seramai 349 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRU DUN Sarawak Ke-12.

SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 349 kertas penamaan yang layak bertanding bagi PRU DUN Sarawak Ke-12.

Terdapat 2 kertas penamaan telah ditolak iaitu di DUN Jemoreng dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) kerana penyokong calon menarik diri yang menyebabkan kertas penamaan calon tidak lengkap.

Dan calon Bebas di DUN Senadin kerana pencadang dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar bagi DUN N.75 itu.

Bilangan calon yang bertanding mengikut pecahan parti

Gabungan Parti Sarawak (GPS) – 82
Parti Bumi Kenyalang (PBK) – 73
Parti Sarawak Bersatu (PSB) – 70
Parti Keadilan Rakyat (PKR) – 28
Parti Tindakan Demokratik (DAP) – 26
Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) – 15
Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) – 11
Parti Amanah Negara (AMANAH) – 8
Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) – 5
Parti Islam Se Malaysia (PAS) – 1
Bebas – 30