Calon Amanah bentang manifesto 5 tuntutan ‘Suara Wakil Kuale’

Calon Amanah bentang manifesto 5 tuntutan ‘Suara Wakil Kuale’

 

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli hari ini membentangkan manifesto mengandungi lima tuntutan kepada kerajaan yang dinamakan Suara Wakil Kuale.

Dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini, Ahmad Termizi berkata, beliau akan memastikan perlaksanaan janji oleh kerajaan seperti pembinaan jambatan Manong, penaiktarafan hospital dan peningkatan kemudahan awam sesuai dengan status Bandar Diraja.

“Saya akan bertanggungjawab di parlimen dan banyak isu persekutuan tapi kita masih ada dua wakil rakyat Umno BN yang akan melaksanakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan iaitu wakil BN Dun Manong dan wakil Bukit Chandan,” katanya.

Beliau juga akan memastikan berlakunya penambahan peluang pekerjaan melalui pengembangan industri asas tani, industri persisiran sungai dan industri pelancongan.

“Banyak industri yang boleh dibangunkan di sini untuk memperkenalkan Kuala Kangsar,” katanya.

Selain itu Ahmad Termizi mendesak kerajaan membina laluan keluar tol untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Manong serta merancakkan pembangunan dan industri setempat.

“Kita berharap Lebuh raya Plus turut dimanfaatkan untuk penduduk sekitar Manong yang ketinggalan dalam pembangunan,” katanya lagi.

Selain itu beliau turut menuntut kerajaan mewujudkan pusat latihan kemahiran di kawasan Manong untuk melahirkan tenaga kerja mahir.

“Sekarang ini masih kurang peluang pekerjaan di Manong menyebabkan ramai orang muda keluar dari kuala Kangsar. Jadi kita mahu rakyat kuala Kangsar kekal di sini dengan mewujudkan pusat kemahiran agar lebih ramai tenaga kerja dapat dilahirkan,” katanya.

Ahmad Termizi juga beriltizam akan menyuarakan penentangan terhadap semua tindakan kerajaan yang merugikan negara dan memudaratkan rakyat seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

COMMENTS

Wordpress (0)