Malaysia Dateline

Calon AMANAH Rosdy Wasli berdepan 5 penjuru di Tanjung Keramat

Kertas pencalonan calon AMANAH di N24 DUN Tanjung Keramat, Rosdy Wasli telah diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini di samping empat lagi calon.

Rosdy akan menjadi calon No 4 yang menggunakan logo Warisan dalam pilihan raya negeri Sabah kali ini.

Antara lawan utama Rosdy adalah calon BN dari Umno, Shahelmy Yahya manakala Pas yang bersedia dari awal untuk bertanding di kerusi ini tidak diberikan laluan oleh rakan-rakan mereka, baik Umno atau Bersatu.

Selain itu, turut serta bertanding di kerusi ini adalah calon dari Usno, DLP dan juga Parti Cinta Sabah.

Rosdy telah diiringi oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Datuk Dr Hatta Ramli, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Strategi Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan juga Faiz Fadzil.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu pula bersama dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang bertanding di DUN Senallang, Semporna.

Shafie akan dicabar empat calon lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di DUN Senallang kali ini.

Empat calon lain yang disahkan pencalonan mereka ialah Datu Pg Ahmad Datu Alam daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Norazman Utoh Naim (PN).

Turut bertanding ialah Madjalis Lais daripada Parti Cinta Sabah (PCS) dan Mohammad Ramzan Abdul Wahab daripada Usno.

Pembuangan undi untuk PRN Sabah ini akan berlangsung 26 September ini.