Calon Amanah sokong singkir PM

Calon Amanah sokong singkir PM

Calon Amanah pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli menyokong kempen Bersih 2.0 untuk menyingkirkan Perdana Menteri dan yakin penyingkiran Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan itu tidak akan memulihkan imej Umno dan BN.

“Sekiranya saya dipilih rakyat Kuala Kangsar sebagai Ahli Parlimen mewakili mereka, saya akan sokong penyingkiran Najib selaku Perdana Menteri.

“Ini adalah kerana Najib telah membawa banyak kerosakan kepada Negara. Sebagai pemimpin, beliau perlu dipertanggungjawabkan ke atas segala kerosakan yang dilakukan beliau termasuk yang terbesar setakat ini – skandal 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan media menjawab beberapa soalan dibangkitkan Besih 2.0.

Beliau juga menyifatkan usaha untuk menyingkirkan Perdana Menteri sebagai ‘pengajaran politik’ bagi rakyat bahawa mereka tidak wajar takut menggantikan pemimpin yang tidak betul.

Di masa yang sama, tambah beliau pemimpin perlu diajar takut kepada rakyat sekiranya mereka melakukan penyelewengan.

Dr Ahmad Termizi juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa penyingkiran Najib akan menyelamatkan Umno/BN.

“Saya tidak setuju dengan sikap itu kerana ianya tidak boleh dilihat secara berasingan.

“Kerosakan yang dilakukan Najib adalah atas kegagalan Umno/BN di mana mereka telah menjadi parti politik sekadar menjaga kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat.

“Najib mampu bertindak begini oleh kerana Umno/BN telah menjadi parti yang gagal dan tidak berfungsi demi rakyat mahu pun orang Melayu,” tegasnya

Sehubungan itu, beliau yakin penyingkiran Najib tidak akan menyelamatkan Umno sebaliknya akan menjadikan rakyat lebih berani untuk membawa perubahan.

“Sama ada Umno akan selamat atau tidak hanya satu andaian. Sedangkan kerosakan yang dibawa Najib adalah satu hakikat dan kebenaran.

“Maka jangan kita berdiam diri dan tidak berusaha membetulkan kerosakan yang jelas dan nyata atas alasan satu andaian yang tidak tentu kebenarannya,” ujarnya.

Dalam kenyataan medianya juga, Dr Ahmad Termizi turut menyatakan sokongan terhadap 10 tuntutan Bersih yang konsisten dengan pendirian beliau dan pimpinan Amanah.

“Saya juga akan sokong. Ketika dalam NGO sebelum ini, saya juga turun bersama semasa diadakan program Bersih 4.0 dan program Bersih sebelumnya,” jelas beliau.

Menurut Dr Ahmad Termizi, sistem semak dan imbang dalam pentadbiran negara perlu diperkukuhkan selain sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

“Saya lihat bahawa 10 tuntutan Bersih adalah agak menyeluruh dan boleh membantu mengatasi ketidak adilan sistem pilihan raya sekarang.

“Termasuk dalam persoalan ini adalah sistem ‘first past the post’ yang diamalkan sekarang perlu dikaji dan ditukar kepada sistem pilihan raya ‘proportional representation’  sebagai satu alternatif yang lebih adil,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)