Peneroka perlu ubah kerajaan untuk elak hutang berpanjangan

Peneroka perlu ubah kerajaan untuk elak hutang berpanjangan

Calon Pakatan Harapan di N29 Mahkota, Mohd Said Jonit hari ini tidak menyalahkan bekas Pengerusi Felda Global Venture (FGV) Tan Sri Isa Samad.

Perkara itu ditegaskan Mohd Said yang juga bekas pengarah eksekutif Felda Plantation Sdn Bhd ketika berceramah di Felda Kahang Barat, Kluang.

Beliau menjelaskan sebelum ini, Felda telah berjaya mengutip keuntungan dari penjualan hasilnya sebanyak RM3 bilion dan kini agensi itu berhutang sebanyak RM12 bilion di bawah pentadbiran Isa Samad.

“Bukan salah Isa Samad sehingga peneroka terpaksa menanggung hutang hari ini. Ini semua salah peneroka yang memberi peluang kepada Isa Samad untuk mentadbir Felda.

“Sejak awal penubuhan semua tak pandang peneroka dan Felda kerana pada peringkat awal Felda bukan dianggap sebagai lubuk duit.

“Hari ini bila kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah dan mereka melihat Felda mampu menjana pendapatan yang lumayan barulah peneroka dan Felda dipandang.

“Peneroka harus membetulkan keadaan dan jangan biarkan Felda terus tergadai dengan memilih pemerintah di kalangan Umno dan BN,” ujar beliau.

Selain itu juga, Mohd Said turut mengingatkan kepada peneroka berkenaan dengan campur tangan syarikat asing yang sedang membeli Felda.

“Ekuiti saham Felda akan dijual sebanyak 51 peratus kepada syarikat asing termasuk syarikat dari China.

“Peneroka sepatutnya sedar dan bertindak untuk selamatkan Felda dari terus tergadai ke tangan negara asing,” ujarnya.

Sementara itu, Felda Kahang Barat yang sebelum ini dilihat sebagai kawasan hitam bagi pembangkang sudah mula dibolosi oleh PH dengan membuat program ceramah penerangan di kawasan tersebut.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 9.0
CATEGORIES
TAGS