Gerakan dakwa Maria Chin khianati perjuangan penyokong Bersih 2.0

Gerakan dakwa Maria Chin khianati perjuangan penyokong Bersih 2.0

Hasrat Maria Chin Abdullah untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang didakwa mengkhianati perjuangan penyokong gerakan Bersih 2.0 pada masa lalu dan kini, kata pemimpin Gerakan.

Chai Ko Ting

Pengerusi Biro Undang-undang Pemuda Gerakan Chai Ko Thing mempersoalkan sama ada Maria Chin mengambil kesempatan daripada perhimpunan Bersih 2.0 sebelum ini untuk meningkatkan popularitinya dan bersedia untuk memulakan kerjaya politiknya.

“Orang awam harus berfikir dua kali sebelum menyokong sebarang bentuk aktiviti mereka pada masa akan datang,” kata Chai dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chai, pengumuman Maria Chin bahawa dia memasuki politik mengesahkan dakwaan bahawa Bersih 2.0, Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil itu tidak pernah memihak kepada rakyat.

“Bias dan kecenderungan politiknya terhadap Pembangkang lebih jelas berbanding sebelumnya.

“Bersih 2.0 telah menyimpang dari perjuangan asalnya untuk pilihan raya yang bersih dan adil dengan kini meneroka ke bidang politik,” katanya.

Semalam Maria Chin dalam sidang medianya mengumumkan meletakkan jawatan sebagai PengerusiBersih 2.0 dan ingin menjadi calon bebas yang menyokong Pakatan Harapan pada pilihanraya akan datang.

Chai berkata, penglibatan Maria dalam politik telah membuktikan dakwaan pengkritik bahawa Bersih 2.0 telah “dirampas secara politik” oleh pembangkang.

“Cita-cita politik yang dipamerkan oleh para pemimpin semasa dan bekas pemimpin Bersih 2.0 akan menjejaskan kredibiliti keseluruhannya.

“Bersih 2.0 sepatutnya berhenti bercakap soal bukan partisan dan bukan berpolitik kerana kebenaran dan fakta membuktikan sebaliknya,” kata Chai.

Dia mencabar Maria Chin untuk bertanding di kerusi luar bandar dan kubu kuat Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan bahawa agenda Bersih 2.0 diterima oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.

“Maria Chin tidak sepatutnya mengambil kerusi selesa di kawasan bandar seperti Petaling Jaya Selatan,” katanya.

Menurut sumber, dilaporkan Maria Chin dijangka bertanding di Petaling Jaya Selatan, di mana penyandang Hee Loy Sian dari PKR telah berkhidmat dua penggal.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote