Calon BN akui Sekinchan dipinggir, janji naik taraf infra kesihatan

Calon BN akui Sekinchan dipinggir, janji naik taraf infra kesihatan

Calon BN PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menjanjikan perubahan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekinchan sekiranya beliau menang dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Budiman yang juga Adun BN Sungai Panjang mengakui sejak Dun Sekinchan diwakili DAP, masalah penduduk di Sekinchan tidak terbela khususnya membabitkan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan awam (di bawah kerajaan pusat).

Dalam sidang media itu, beliau turut mengulas kemudahan awam yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya sudah lawat Pasar Awam Sekinchan ramai peniaga mengeluh kerana kerajaan negeri menaikkan kadar sewa tanpa ada kenaikan infrastruktur di pasar tersebut.

“Dari sewa RM80 dinaikkan ke RM100 dan kini RM180. Walaupun sewa dibayar tinggi oleh peniaga masalah lantai yang pecah, longkang kotor, lampu di kawasan pasar yang rosak tidak diselenggara dengan baik.

“Malah ada peniaga yang mengeluh apabila kerajaan negeri hanya membenarkan peniaga menggunakan kanopi yang kecil saiznya yang tidak sesuai untuk berniaga barangan basah dan kering membabitkan kawasan di Taman Seri Cindai Indah apabila dilanda hujan dan kanopi yang kecil itu boleh terbang.

“Pusat kesihatan di Sekinchan pula tidak banyak yang mana di Dun Sekinchan kebanyakan penduduk selain di Parlimen Sungai Besar turut membabitkan  kawasan Parlimen Tanjung Karang yang bersempadanan dengan Dun Sekinchan,” ujarnya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Pusat Komuniti Pendidikan di Bangunan Persatuan Keturunan Han Sang di Bagan, Sungai Besar di sini.

Justeru bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pengundi Dun Sekinchan meningkat di masa hadapan, beliau berjanji akan membuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat di Dun Sekinchan sekiranya menang dalam PRK di Sungai Besar.

“Kalau saya menang bertanding saya akan bukan pusat khidmat wakil rakyat dan membawa isu peniaga dan penduduk Sekinchan ke Parlimen untuk memastikan keperluan asas mereka dapat dipertingkatkan,” ujarnya.

Mengulas sokongan pengundi Cina di Dun Sekinchan terhadap calon BN, Budiman menyakini pengundi hari ini  mahu melihat seorang wakil rakyat yang boleh bertoleransi antara kaum dan agama.

Pada PRK Sungai Besar, Budiman berhadapan calon Amanah Azhar Ab Shukur dan Pas Dr Abdul Rani Osman.

Sambung Budiman lagi, Pusat Komuniti Pendidikan itu dibina bagi kegunaan penduduk di Bagan, Sungai Besar sebagai satu pusat pembelajaran sepanjang hayat.

“Pusat ini adalah salah satu agenda pendidikan yang saya gerakkan setelah menjadi Adun Sungai Panjang.

“Saya harap pusat ini kelak akan mampu memberikan pendidikan tambahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah serta orang dewasa bagi memenuhi keperluan pembelajaran seumur hidup,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Senator Chong Sin Woon dan  Pengerusi JKKKP Bagan Sungai Besar Chia Bak Long serta ahli jawantakuasa persatuan itu.

COMMENTS

Wordpress (0)