Calon BN belum turun jumpa pengundi, takut ditanya isu GST?

Calon BN belum turun jumpa pengundi, takut ditanya isu GST?

Lim Lip Eng

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, hanya tinggal tujuh hari sebelum hari mengundi namun calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kepong dan Segambut masih belum turun bertemu pengundi atau mengadakan ceramah kempen.

Apakah kedua-dua calon BN itu, iaitu Ong Siang Liang bagi Kepong dan Dr Loga Bala Mohan bagi Segambut terlalu yakin mereka akan menang lalu tidak perlu mengadakan ceramah? soal peguam DAP itu dalam kenyataannya hari ini.

Kata beliau, pengundi akan menentukan pada 9 Mei ini sama ada Najib Razak masih boleh menyimpan potfolio beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, atau kerajaan baharu yang bersih akan mengambil alih.

PH katanya, telah berjanji dalam manifestonya untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan sebaik rejim Najib digantikan dengan kerajaan PH.

“Bagi pihak pengundi Kepong dan Segambut, saya menuntut supaya calon parlimen BN ini untuk memberikan jawapan kepada pegundi mengapa menteri BN dan Ahli Parlimen BN mengundi meluluskan undang-undang GST sedangkan ia ditentang oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini?

“Jika Ong dan Loga takut untuk mengadakan ceramah sebab ingin mengelak daripada menjawab mengenai isu yang dekat dengan hati pengundi ini, sebagai calon parlimen nyatakan dengan jelas pendirian mereka mengenai GST,” kata Lip Eng.

Tambah beliau, pengundi berhak tahu sama ada kedua-dua mereka ini menentang ataupun bersetuju dengan GST jika mereka dipilih untuk ke parlimen.

“Jika mereka tidak merancang untuk bertemu pengundi, mereka boleh mengumumkannya secara selesa melalui Facebook mereka atau melalui media sosial,” kata beliau.

CATEGORIES