Calon BN dan Pas tidak minat berdebat dengan PH

Mujahid memperkenalkan manifesto PH selepas calon-calon BN dan Pas tidak hadir.

Calon Pas dan BN nampaknya tidak bersedia untuk duduk sepentas dengan calon-calon Pakatan Harapan (PH) bagi memperkenalkan calon dan manifesto masing-masing.

Bagi calon PH Parit Buntar, sepatutnya calon BN dan Pas bagi kerusi Parlimen Parit Buntar serta Dun Titi Serong dan Kuala Kurau dapat duduk sepentas bagi menerangkan manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 kepada pengundi dalam kawasan Parlimen Parit Buntar.

Namun begitu, mereka seolah-olah tidak prihatin dan peduli apa yang diharapkan oleh rakyat bawahan bagi mendapat penjelasan mengenai manifesto yang telah mereka uar-uarkan, katanya.

Hasilnya hanya calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Parit Buntar dan kerusi Titi Serong serta Kuala Kurau sahaja yang berani tampil ke hadapan bagi menerangkan apa yang terkandung dalam manifesto PH.

Demikian dinyatakan oleh calon PH bagi Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa di Taman Kerian, Parit Buntar, kelmarin.

Beliau juga menempelak calon BN dan Pas yang memberikan pelbagai alasan setelah gagal untuk hadir memenuhi harapan pengundi Parlimen Parit Buntar.

“Rakyat ingin tahu apa yang hendak dilaksanakan oleh BN bagi Parlimen Parit Buntar dan juga dua Dun dibawahnya.

“Kita ingin mendapat penjelasan dari Pas apa yang mampu mereka lakukan bagi kerusi Parlimen serta Dun Titi Serong dan Kuala Kurau.

“Dengan kehadiran mereka, ia dapat menjelaskan segala persepsi yang sedang berlegar dipemikiran pengundi samada BN mampu merealisasikan apa yang mereka laung-laungkan atau pun sebaliknya, ” ujarnya lagi.

Malah kata Mujahid lagi, alasan yang diberikan bahawa PH ingin mencari populariti adalah tidak benar sama sekali.

“PH jelas ingin menghapuskan cukai GST sepertimana yang terkandung dalam manifesto.

“Kami bersungguh-sungguh menjelaskan sehingga ke seluruh pelusuk negara dan kampung bahawa apa yang terkandung dalam manifesto PH akan kita tunaikan.

“Maka itu BN dan Pas tidak sepatutnya menolak pelawaan ini dengan pelbagai alasan, ” tegasnya.

Jelas Mujahid lagi, terdapat begitu banyak tawaran yang ditawarkan oleh PH bagi memastikan nasib pengundi dan rakyat dibela.

“Ini yang hendak kini perjelaskan supaya rakyat tidak keliru dan bercelaru.

“Melalui penerangan inilah mereka dapat membezakan apakah tawaran yang dibuat oleh BN itu memanfaatkan semua golongan masyarakat.

“Apakah dengan tawaran yang diberikan oleh Pas nanti, ianya akan memberi banyak kebaikan kepada rakyat masih lagi menjadi tanda tanya hingga kini, ” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, PH telah bersedia untuk menjadi sebuah kerajaan bagi negeri Perak dan juga seluruh negara sehingga ke Putrajaya menjelang PRU 9 Mei ini dengan mengharapkan mandat dari rakyat.

CATEGORIES
TAGS