‘Calon edah’ BN di Kuala Kangsar sukar menang, kata bekas pemimpin Umno

‘Calon edah’ BN di Kuala Kangsar sukar menang, kata bekas pemimpin Umno

Pemilihan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid dibidas bekas pemimpin Umno.

Bekas Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman meramalkan BN dijangka berdepan kesukaran untuk memenangi PRK Kuala Kangsar kerana kegagalan memilih calon yang sesuai.

Jelas beliau kerana pergerakan dan penglibatan calon BN itu yang terbatas sepanjang kempen berlangsung kerana masih dalam tempoh  edah ekoran kematian suaminya penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lalu.

“Kalau kita keluar (berkempen) pun orang susah nak bagi undi inikan pula kalau keadaan sebaliknya.

“Bagi saya, walaupun kita berada dalam dunia teknologi yang serba canggih namun, setiap calon wajib turun padang bertemu, bersua muka dengan rakyat. Jelaskan visi dan misi yang ingin dibawa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian online.

Menurutnya, pemilihan Mastura selaku calon juga menimbulkan tanda tanya bukan hanya kepada dirinya bahkan banyak pihak termasuk ahli BN sendiri.

“Saya sendiri pun memang tak faham apa kriteria-kriteria yang menyebabkan beliau dipilih oleh BN untuk bertanding sedangkan kita tahu kedudukannya,” katanya.

Ditanya mengenai kesahihan sama ada beliau bertanding di PRK tersebut sebagai calon bebas, Hamidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno Gopeng enggan mengulas lanjut.

Katanya, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam senario politik negara pada ketika ini.

TAGS