Malaysia Dateline

Calon BN di Merlimau berkempen tanpa pemimpin Umno bahagian?

Ketika calon-calon Barisan Nasional (BN) diarak dan dibawa ke sana sini dalam siri kempen pilihan raya negeri Melaka oleh pemimpin Umno bahagian masing-masing, namun calon BN di Merlimau tidak berlaku sedemikian.

Beliau hanya di kelilingi oleh Pemuda Umno dan tidak nampak kelibat pemimpin Umno Bahagian Jasin di mana terletaknya Dun Merlimau dalam kempen yang dilakukan beliau.

“Kami difahamkan, calon BN di sini tidak mendapat restu dari Umno bahagian,” kata satu sumber kepada Malaysia Dateline.

Menurut sumber itu, calon BN dari Umno di sini, Dr Muhamad Akmal Saleh adalah antara calon yang lantang menuntut agar calon muda diberikan peluang dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Kelantangan beliau telah menyebabkan orang-orang tua Umno tidak senang. Hasilnya, hanya Pemuda Umno yang berada di keliling beliau dalam kempen ini,” katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi itu adalah Datuk Roslan Ahmad yang menang dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti hanya 130 undi.

Menjelang pengumuman calon, nama anggota Majlis Kerja Tetinggi Umno, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira antara calon yang disebut-sebut akan menjadi calon kali ini.

Namun, Dr Muhamad Akmal yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno Melaka mendesak agar orang muda dipilih sebagai calon.

Selain Dr Akmal, calon lain yang bertanding adalah Cikgu Azrin Ab Majid (PH-Amanah) dan Abd Alim Shapie(PN-PAS).