Calon BN PRK Kuala Kangsar bukan orang asing, kata Zambry

Calon BN PRK Kuala Kangsar bukan orang asing, kata Zambry

Walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan, tetapi Datin Mastura Mohd Yazid, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, bukanlah seorang yang asing kepada pengundi di Parlimen itu kataPengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata Mastura merupakan calon dapat memberi kesinambungan kepada semua perancangan Allahyarham suaminya, yang juga penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

“Kita perlu ingat, dia (Mastura) telah berkahwin dengan orang Kuala Kangsar, tinggal dan membesarkan anak-anaknya di situ, suaminya telah menjadi wakil rakyat dan bermula sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan seterusnya menjadi Ahli Parlimen.

“Dia (Mastura) telah bersama-sama dengan suaminya sebelum ini dengan menyertai pelbagai program bersama rakyat Kuala Kangsar, jadi dia bukanlah asing kepada orang Kuala Kangsar seperti yang diuar-uarkan,” kata Zambry, yang juga Menteri Besar Perak, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri semalam seperti dilapor Umno online.

Semalam Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, pucuk pimpinan BN dilihat membuat kesilapan dengan mencalonkan Mastura.

Syed Rosli Syed Harman Jamalullail“Pertama, Datin Mastura bukannya warga tempatan di mana dia berasal dari Rembau dan bukannya Kuala Kangsar.

“Kedua, Datin Mastura yang baru kematian suami berada didalam keadaan edah di mana di dalam Islam dilarang keluar rumah kecuali untuk mencari rezeki.

“Jadi bagaimana Umno boleh memilih calon yang tidak boleh keluar berkempen? ” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Zambry dipetik berkata, PRK kali ini amat unik kerana BN akan menggunakan pendekatan kreatif dan berinovasi untuk berkempen tanpa calonnya Mastura yang masih dalam tempoh edah.

“Ia memerlukan kreativiti kita untuk memikirkan bagaimana untuk memastikan kehadiran Mastura tetap dirasai walaupun dia tidak hadir, kita akan gunakan pelbagai cara dan kaedah bagi pengundi merasai kehadirannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata BN akan memberi tumpuan kepada penggunaan media baharu seperti media sosial, ‘live streaming’ dan klip video dalam kempen kali ini.

“Kita ada 26 Pusat Daerah Mengundi, kita akan lihat kawasan berkenaan sekiranya jaringan baik kita guna pendekatan media baharu itu, di kawasan yang kurang baik jaringannya kita mempunyai pelbagai kaedah lain,” katanya.

Menurut Zambry, walaupun Mastura tidak dibenarkan meninggalkan rumahnya selama empat bulan 10 hari sepanjang tempoh edah, namun itu tidak menghalang penduduk Kuala Kangsar daripada bertandang ke rumahnya untuk berjumpa dengannya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Wan Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu

 

 

TAGS