Calon boleh menang kriteria terpenting, kata pemuda Amanah

Calon boleh menang kriteria terpenting, kata pemuda Amanah

Calon orang muda atau veteran bukan kriteria utama dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya Naib Pengerusi Pemuda Amanah Nasional Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, faktor boleh menang dan kedekatan calon dengan pengundi serta isu setempat perlu diberi perhatian sebelum memutuskan calon di kedua-dua kerusi.

Beliau berkata, Pemuda Amanah menerima apa juga ketetapan parti jika perkara tersebut diberikan keutamaan.

“Pemuda setuju dengan sesiapa sahaja yang telah diputuskan oleh parti untuk mewakili Amanah dalam dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kita patut patuh terhadap siapa sahaja yang dicalonkan oleh parti dalam dua PRK tersebut sama ada orang muda atau bukan orang muda asalkan pertimbangan yang sewajarnya telah dibuat.

“Apa yang paling penting dan teratas adalah parti dan bukan mana-mana individu atau golongan tertentu dalam parti,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Pakatan Harapan akan mengumumkan calon mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masing-masing pada 1 dan 2 Jun ini.

Bagaimanapun parti mana yang akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut masih menjadi teka-teki selepas tiga kali mesyuarat Pakatan dibatalkan.

Sementara itu, Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam sidang medianya Jumaat lalu berkata, parti itu meletakkan beberapa nama sebagai calon di kedua-dua kerusi antaranya Presiden Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Wan Anwar juga berkata, Pemuda Amanah bersetuju parti itu bertanding di kedua-dua kerusi jika Amanah bertindak sebagai pengganti Pas dalam Pakaan Harapan.

“Sifirnya mudah iaitu mana-mana kerusi yang ditandingi oleh Pas dalam Pakatan Rakyat dahulu akan ditandingi oleh Amanah dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar melainkan Pakatan Harapan melakukan rundingan semula terhadap semua kerusi parlimen dan Dun pada pilihan raya yang akan datang,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah.

Majlis pengisytiharan calon Pakatan Harapan bagi Sungai Besar akan diadakan di Dewan Sri Sekinchan pada jam 8.30 malam manakala bagi Kuala Kangsar di Kota Lama Kanan, Jambatan Sayong Kuala Kangsar pada jam 9.00 malam.

TAGS