Calon DAP nafi saman nenek, dua ceramahnya malam ini dan esok

Calon DAP nafi saman nenek, dua ceramahnya malam ini dan esok

Calon DAP Dun Batu Kitang Abdul Aziz Isa menafikan beliau akan ‘direhatkan’ daripada meneruskan ceramah dan tidak terlintas untuk menyaman neneknya Mazuin Manan sebagaimana khabar angin yang tersebar sebelum ini.

Menurut Abdul Aziz berlaku salah faham ekoran kenyataannya dalam ceramah baru-baru ini untuk mengurangkan ceramah.

“Mungkin salah faham kerana saya pernah cakap saya nak kurangkan ceramah kerana saya hadapi masalah dengan suara.

“Sebenarnya DAP suruh saya berceramah tapi saya minta dikurangkan kerana tekak saya sakit. Saya tidak pernah putus ceramah tapi minta kurangkan ceramah itu saja.

“Setakat hari ini belum ada lagi Pengerusi DAP Sarawak atau mana-mana AJK parti yang menghalang saya dari berceramah sepanjang kempen diadakan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Calon tunggal Melayu DAP ini berkata, puak BN di Sarawak boleh bercakap apa sahaja kepada pihak media mencari kelemahan saya untuk menyerang balas sepanjang kempen diadakan.

“Kalau betul sumber yang mereka perolehi dari dalaman DAP saya nak tahu adakah mereka pasti itu ahli DAP kerana setiap ahli yang berkempen ada menggunakan kad pengenalan diri parti masing-masing,” terangnya.

Mengenai dakwaan beliau akan memfailkan injuksi, menghalang Mazuin dari terus mengeluarkan apa-apa kenyataan yang tidak elok mengenai dirinya, Aziz berkata perkara itu tidak benar.

“Tidak, tidak, tidak. Saya baru tahu ni. Boleh tanya mana-mana pihak yang ada rekod ucapan saya, Saya tidak pernah kata pada mana-mana individu kononnya saya nak saman nenek saya.

“Gilalah jika saya nak saman nenek sendiri,” ujarnya.

Menurut Aziz walaupun neneknya menentang beliau sebagai calon DAP, ia adalah perkara biasa dalam pentas politik.

“Takan saya nak paksa nenek saya sokong DAP kerana dia penyokong kuat BN.

“Kalau benar saya ini ‘sotong’ dia tidak didik saya dengan betullah jika betul dia yang kata jaga saya semasa kecil seperti dia cakap.

“Apa yang saya tahu pemimpin Umno ramai yang `sotong’. Malah ada juga ahli parlimen tomboy. Jangan main-main dengan politik, saya jangan dicabar.

“Ini semua dakyah puak-puak Umno-BN. Saya cuma nak bagi tahu pada mereka air dicincang takkan putus. Nanti mereka tengok saya berpeluk dengan nenek saya, siapa yang malu? BN juga yang malu.

“Ibu bapa saya memberi sokongan terhadap saya dari belakang bukan nenek saya. Mungkin saya tidak dapat bagi duit berjuta-juta pada nenek saya sebab itu dia buat kenyataan begitu dan dipergunakan oleh BN,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan beliau sebagai angkuh dan bercita-cita untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan, Aziz berkata itu perkara subjektif untuk dinilai oleh orang lain.

“Apa yang saya kata dalam ceramah adalah sesuatu yang subjektif. Najib jadi MB pada usia 27 tahun dan jadi ahli parlimen usia 22 tahun. Lee Lam Thye pula jadi ahli Parlimen usia 22 tahun.

“Usia bukan faktor takanlah mahu semua ahli politik mesti orang tua siapa nak membela orang muda,” ujarnya.

Justeru beliau berazam akan terus berceramah di Stutong malam ini dan Trinity Hub pada malam esok.

Dun Batu Kitang akan menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan calon BN-Supp Lo Khere Chiang, Voon Shiak Ni (PKR) Abdul Aziz Isa (DAP)
dan dua calon Bebas Sulaiman Kadir dan Datuk Seri Othman Bojeng.

TAGS