Malaysia Dateline

Calon, etnik dan pembangunan jadi faktor utama PRN Sabah

Calon, etnik dan pembangunan menjadi faktor utama bagaimana rakyat Sabah memilih dalam pilihan raya umum negeri Sabah kali ini.

Penganalisis politik dari UTM, Dr Mazlan Ali berkata, secara umumnya, Barisan Nasional (BN) melalui Umno dan Perikatan Nasional (PN) menguasai pengundi luar bandar di pantai timur Sabah.

Warisan Plus pula, katanya, menguasai pengundi di bandar-bandar dan pantai barat Sabah.

“Atas dasar itulah keputusan PRN Sabah berlangsung semalam,” kata beliau ketika mengulas paten pengundi dalam PRN Sabah kali ini.

Peratusan pengundian yang rendah juga menjadi sebab kenapa Warisan Plus tidak berapa berjaya dalam PRN semalam.

“Ramai pengundi Warisan tinggal di luar Sabah dan tidak balik mengundi kali ini antaranya kerana takut kepada Covid-19,” kata Mazlan.

Pengundi di kalangan Kadazan Dusun dan Murut (KDM) pula, katanya, berjaya ditakutkan oleh BN dan PN terhadap Shafie.

“Shafie dilebelkan sebagai pendatang dan dituduh memberikan muka kepada pendatang khasnya dari Filipina. Ia memberikan kesan besar kepada pengundi KDM yang menyebabkan mereka tidak mengundi Warisan Plus,” katanya.

Mazlan juga berkata, pengundi Cina di Sabah pula terbukti tetap memberikan sokongan kepada calon-calon DAP apabila parti itu menang enam dari tujuh kerusi yang ditandinginya.