Malaysia Dateline

Calon Ketua ARMADA bincang hal parti dalam dalam pejabat menteri?

Calon Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilihat mengadakan perbincangan parti di pejabat menteri.

Bekas pegawai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memuat naik gambar sesi tersebut di Twitter kelmarin.

Foto tersebut memaparkan aksinya di meja pejabat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ahli Parlimen Larut itu baharu dilantik sebagai Setiausaha Agung (SUA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menggantikan Datuk Marzuki Yahya yang telah dihentikan daripada jawatan itu berkuatkuasa 18 Mac lalu.

“Alhamdulillah meluangkan sedikit masa dengan SUA Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. More good news for Armada (Lebih banyak berita baik untuk Armada),” tulis Wan Fayhsal di Twitter.

Semakan Malaysia Dateline mendapati, suasana bilik itu dengan langsir berwarna merah gelap menyerupai ruang pejabat Menteri Dalam Negeri seperti terpapar dalam rakaman gambar di laman web kementerian tersebut pada 2014.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu sebagai Menteri Dalam Negeri (16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018) sedang menerima kunjungan rombongan Ahli Dewan Rakyat Parlimen Mini pada 23 September 2014.

 

Bukti Wan Ahmad Fayhsal dan Hamzah Zainuddin berbincang hal parti di pejabat Menteri Dalam Negeri.